Search

Remaja maut kemalangan di Papar

November 26, 2023

Info X Reporters

PAPAR: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Bulatan Benoni – Ulu Kimanis, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Papar.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Papar ke Keningau.

Katanya, ketika melalui satu selekoh, mangsa disyaki gagal mengawal motosikal lalu masuk ke laluan bertentangan iaitu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Pemandu Toyota Hilux melihat motosikal masuk ke laluannya secara tiba-tiba, menyebabkan pemandu tidak sempat untuk mengelak dan menekan brek sehingga motosikal mangsa melanggar di bahagian depan sebelah kanan kenderaan.

Keadaan motosikal mangsa yang terbabit kemalangan di Papar.

“Mangsa bersama motosikal telah jatuh ke atas permukaan jalan raya akibat perlanggaran itu. Mangsa kemudian dihantar ke Unit Kecemasan, Hospital Papar dengan kenderaan awam untuk tujuan rawatan lanjut.

“Namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika perjalanan ke Hospital Papar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kamaruddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tujuan bedah siasat dan mengetahui punca kematian mangsa.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X