TAWAU: Seorang lelaki warga asing nekad melarikan diri sehingga bot dikendalinya karam di kawasan laut Batu 3, di sini, semalam semata-mata mahu mengelak daripada ditahan kerana membawa dadah.
Bagaimanapun suspek berusia 17 tahun itu berjaya diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan menemui tiga bungkusan plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi dadah jenis syabu seberat 56.64 gram.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, ketika menjalankan operasi bersama Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, terkesan sebuah bot bergerak laju dalam keadaan mencurigakan menghala ke Pulau Sebatik.

Susulan itu, katanya pasukan operasi bertindak mengejar dan mengarahkan bot laju dikendali seorang lelaki untuk berhenti namun tidak diendahkan.
“Pasukan operasi terus mengejar dan selepas 15 minit mengejar bot laju itu melanggar haluan pasukan operasi lalu karam.
“Pasukan operasi kemudian menyelamatkan suspek. Ketika disoal siasat suspek mengaku menyimpan barang salah di dalam beg silang miliknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad berkata, hasil pemeriksaan ke atas beg silang itu menemui tiga paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat hampir 56.64 gram bernilai RM4,000.
“Suspek kemudian ditahan dan barang kes dirampas manakala bot ditunda ke Jeti PPM Tawau untuk dokumentasi.
“Barang kes dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – Info X