PENAMPANG: Seorang remaja perempuan warga asing berusia 16 tahun cedera di leher selepas dipercayai dikelar menggunakan pisau dalam kejadian di Kampung Tuntuluk, Nosoob, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dalam tandas rumah sewa sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa berada di rumah sewa berkenaan sebelum didatangi suspek yang juga dipercayai kenalan mangsa.
Menurut pemilik rumah sewa, dia dihubungi salah seorang penyewa yang meminta dia segera datang ke rumah berkenaan yang terletak bersebelahan rumahnya.
“Sebaik menghampiri rumah, saya nampak seorang lelaki berlari menaiki bukit di depan rumah di jalan kampung itu.
“Masa itu saya tidak syak apa-apa, tetapi apabila masuk ke rumah sewa saya nampak mangsa terbaring dalam tandas dengan keadaan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, mangsa dipercayai mengalami kecederaan di leher akibat dikelar menggunakan pisau.
“Saya terus hubungi kakak mangsa sebelum dia datang dan menghubungi pihak berkuasa.
“Sepanjang mereka menyewa di sini tiada sebarang masalah berlaku. Saya difahamkan suspek tinggal di lorong sebelah kampung ini,” katanya.
Difahamkan, mangsa tinggal bersama kakaknya di rumah berkenaan sejak kira-kira tiga tahun lalu dan ketika kejadian sedang menjaga anak kakaknya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan di bahagian leher.
Katanya, pihaknya sedang mengesan seorang lelaki lingkungan usia 30-an bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Pasukan polis termasuk Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sudah berada di lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Kes masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang, ASP Hairie Awang Akub di talian 016-8032849,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu atau membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta ketenteraman awam. – Info X