KOTA BELUD: Seorang remaja perempuan dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Kadamaian, di sini, petang semalam.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa Khairunisa Kembarudin, 16, sedang bermandi-manda bersama keluarga sebelum tiba-tiba dihanyutkan arus deras sungai itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syazwan Latun, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 3.58 petang.
Susulan itu, beliau berkata, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dikerah ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
“Setiba di lokasi, pasukan mengambil maklumat dan difahamkan bahawa mangsa melakukan aktiviti mandi bersama keluarga di sungai berkenaan sebelum dikhuatiri lemas.
“Pasukan bomba menjalankan operasi SAR dibantu Pasukan Penyelaman Di Air (PPDA) yang membuat selaman secara surface searching menggunakan bot penyelamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pencarian juga turut dibantu oleh pihak polis dan penduduk kampung yang menjalankan operasi di tepi-tepi sungai.
“Mangsa masih juga tidak ditemui dan operasi SAR ditangguhkan pada jam 10 malam tadi.
“Operasi pencarian akan disambung pada pagi ini,” katanya. – Info X