Search

Remaja perempuan lemas ketika mandi di sungai

August 19, 2024

Info X Reporters

RANAU: Seorang remaja perempuan ditemui lemas selepas dilaporkan hanyut ketika mandi sungai di Kampung Sungangon, Jalan Ranau – Sandakan, di sini, petang tadi.

Mangsa Nerlyne Christine Januai, 13, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh penduduk kampung kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya terlebih dahulu menerima laporan kejadian itu pada jam 4.37 petang.

Berikutan itu, katanya sepasukan anggota bomba digerakkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Mangsa ditemui oleh penduduk kampung dengan jarak 500 meter dari tempat lokasi mangsa dilaporkan lemas.

“Pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa untuk diperiksa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihak KKM mengesahkan mangsa telah meninggalkan dunia di lokasi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 7.35 malam,” katanya. – Info X