KOTA KINABALU: Dakwaan seorang remaja perempuan kononnya menjadi mangsa culik sebelum berjaya menyelamatkan diri, di sini, semalam didapati hanya cerita rekaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan lanjut polis terhadap kes itu mendapati remaja berusia 13 tahun sengaja mereka cerita ‘diculik’ kerana enggan pergi mengaji.
Berikutan itu, beliau mengingatkan golongan remaja supaya tidak mereka-reka cerita berkaitan kes jenayah kerana boleh menimbulkan panik, selain menjadi satu kesalahan membuat laporan palsu.
“Perbuatan itu juga menyusahkan pihak polis selain membuang masa dan tenaga melakukan siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Berikutan itu, katanya beliau mengarahkan supaya remaja terbabit diserahkan kepada ibu bapanya dan diberikan nasihat agar tidak mengulangi perbuatan berkenaan.
Sehubungan itu, Kasim menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang gambar atau kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dan menggusarkan orang ramai.
Terdahulu, tular di media sosial Facebook dan berdasarkan apa yang tersebar, mangsa dikatakan diculik dan dibawa lari menggunakan van putih di Kampung Tanjung Aru Baru, semalam.
Mangsa turut mendakwa mulutnya ditutup bagaimanapun kanak-kanak terbabit sempat melarikan selepas penculik berhenti untuk membuang air kecil di tepi jalan dekat Sutera Harbour, di sini.
Kanak-kanak terbabit kemudian terus berlari dan kebetulan dijumpai dengan seorang penduduk tempatan Kampung Baru. – Info X