Search

Rezlo selamat, datang sendiri ke IPD Penampang selepas dilaporkan hilang

August 10, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Remaja kedua yang dilaporkan hilang di Kampung Buit Hill, Putatan, Khamis lalu ditemui selamat selepas datang sendiri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendent Sammy Newton berkata, remaja dikenali sebagai Rezlo Mic Fadden Romineo, 15, hadir sendiri ke IPD kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

“Rezlo Mic dalam keadaan baik, selamat dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Nicholas Chee Ping, 13, yang dilaporkan hilang kembali sendiri ke rumah keluarganya pada jam 9.25 malam kelmarin, selepas mengetahui ada laporan polis dibuat mengenai kehilangannya.

Nicholas pulang ke rumah selepas seminggu berada di rumah rakannya dan hanya menghubungi keluarga apabila hebahan kanak-kanak hilang dimuat naik di Facebook Rasmi IPD Penampang selepas keluarganya membuat laporan polis.

Terdahulu, kedua-dua remaja ini dilaporkan hilang di Kampung Buit Hill, Putatan Rabu lalu.

Sementara itu, Sammy berkata, pihak polis juga telah terkesan satu rakaman suara berdurasi 32 saat mengenai kehilangan kanak-kanak yang ditularkan di media sosial.

“Polis IPD Penampang menegaskan bahawa kes kanak-kanak hilang bersabit laporan Putatan/3832/2024 adalah tiada kaitan sama sekali.

“Orang ramai juga diminta supaya tidak memuat naik atau menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih di mana-mana
platform atau aplikasi media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran masyarakat.

“Pihak polis turut menasihatkan ibu bapa atau penjaga untuk sentiasa mengawasi gerak-geri dan pergaulan anak di bawah jagaan masing-masing untuk mengelak sebarang kejadian yang
tidak diingini,” katanya. – Info X