Search

Riduan kekal Ahli Parlimen Tenom

March 15, 2023

admin

KOTA KINABALU : Riduan Rubin mengekalkan kerusi Parlimen Tenom yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November lalu.

Ia selepas Mahkamah Pilihan Raya, di sini, hari ini, menerima bantahan awal wakil rakyat bebas itu terhadap petisyen pilihan raya yang difailkan calon parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat(KDM), Datuk Peter Anthony sebelum ini.

Ketika prosiding hari ini, Hakim Dean Wayne Daly membenarkan notis permohonan yang difailkan Riduan selaku responden pertama untuk mengetepikan petisyen Peter.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati petisyen yang difailkan oleh Peter tidak mematuhi Peraturan 4(1)(b) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya dibaca bersama Seksyen 32(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya.

Mahkamah Tinggi, yang menolak petisyen itu dengan kos RM20,000, turut memutuskan bahawa Peter disabitkan dengan kesalahan jenayah semasa penamaan calon dan oleh itu, tidak layak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengikut Perkara 48(5) Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, peguam Datuk Ansari Abdullah yang mewakili Peter berhujah bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu memperoleh perintah penangguhan pelaksanaan hukuman bagi sabitan daripada Mahkamah Sesyen dan oleh yang demikian, Perkara 48(5) adalah tidak terpakai ke atas beliau.

Peguam Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad, yang mewakili Riduan, pula berhujah bahawa Perkara 48(5) adalah terpakai ke atas Peter sebaik sahaja beliau disabitkan dengan kesalahan jenayah dan kekal sebagai individu yang tidak layak bertanding pada PRU sehingga atau melainkan mahkamah mengetepikan sabitan itu selepas rayuan.

Peter yang pencalonannya ditolak pada hari penamaan calon pada PRU15 November lalu, memfailkan petisyen terhadap keempat-empat responden terbabit untuk membatalkan keputusan bagi kerusi Parlimen Tenom.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu turut mendapatkan pengisytiharan bahawa pilihan raya yang diadakan pada 15 dan 18 November lalu bagi kerusi Parlimen Tenom sebagai tidak sah dan batal.

Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa pencalonannya pada PRU15 bagi kerusi Parlimen Tenom sebagai sah dan mematuhi undang-undang.

Sementara itu, Riduan yang turut hadir pada prosiding berkenaan berkata, keputusan itu membolehkan beliau kini dapat menumpukan tugasnya sebagai Ahli Parlimen Tenom.

Riduan yang ditemui selepas prosiding berkenaan berkata, beliau sangat gembira dengan keputusan itu dan akan meneruskan tugas sebagai Ahli Parlimen Tenom dengan sebaik mungkin.

“Saya gembira kerana sekarang saya dapat menumpukan untuk meneruskan tugas sebagai Ahli Parlimen Tenom. Saya tidak dapat menghadiri persidangan Parlimen hari ini kerana mahu mendengar keputusan mahkamah,” katanya.

Riduan yang bertanding sebagai calon Bebas memenangi kerusi Parlimen Tenom pada PRU15 dalam pertandingan lima penjuru dengan majoriti 1,108 undi mengalahkan penyandangnya, Noorita Sual (PH), Jamawi Jaafar (BN), Ukim Buandi (Warisan) dan seorang lagi calon Bebas, Peggy Chaw Zhi Ting. – Info X