KOTA KINABALU: Bayaran pampasan tanah dan struktur yang dirobohkan di sepanjang tapak laluan Lebuhraya Pan Borneo Sabah mencecah RM1.147 bilion setakat 1 April lalu.
Jumlah itu didedahkan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) mengenai jumlah terkini pampasan bagi projek itu di Sabah.
Katanya, jumlah pampasan di negeri ini berbeza dengan di Sarawak berikutan perbezaan luas tapak jalan yang digunakan untuk membina lebuh raya berkenaan.
“Jumlah pampasan tanah dan struktur di Sarawak adalah rendah berbanding di Sabah kerana di Sarawak, koridor jalan sedia ada mereka adalah selebar 100 meter.
“Di negeri Sabah pula, koridor sedia ada adalah selebar 30 meter sahaja. Secara dasar pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan juga Sarawak adalah untuk menaik taraf jalan Persekutuan utama sedia ada.
“Namun demikian, memandangkan jalan Persekutuan sedia ada adalah bertaraf satu lorong dua hala yang dinaiktarafkan kepada dua lorong dua hala, maka ia melibatkan pengambilan tanah yang lebar,” katanya.
Shahelmey berkata, di Sarawak, koridor sedia ada sudah mempunyai 100 meter, jadi pengambilalihan tanah di negeri itu agak kurang pampasan berbanding dengan negeri Sabah.
Katanya, pembinaan lebuh raya itu bukan saja membabitkan pengambilalihan tanah, malah turut membabitkan pembayaran ganti rugi rumah atau struktur lain. – Info X