KOTA KINABALU: Bayaran interim RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi tuntutan Hak 40 Peratus Hasil Bersih Sabah disifatkan sebagai satu permulaan, namun masih jauh daripada jumlah sebenar yang sepatutnya diterima negeri itu.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan, berkata berdasarkan sumbangan hasil sebenar Sabah kepada Persekutuan, jumlah yang layak diterima negeri itu bagi tahun 2026 sahaja tidak kurang daripada RM5 bilion.
Katanya, rakyat Sabah memahami perbezaan antara bayaran dan penyelesaian sebenar terhadap hak yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Setiap pengumuman tanpa pelaksanaan hanya menambah tempoh penantian yang sudah berlarutan lebih lima dekad sejak 1974,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabtu lalu, Anwar ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri di Penampang mengumumkan bayaran interim RM1.5 bilion sebagai langkah ke arah penyelesaian tuntutan hak 40 peratus Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Jeffrey berkata jumlah bayaran yang diterima Sabah selama ini masih jauh daripada kadar sebenar yang sepatutnya dibayar mengikut formula 40 peratus.
Menurutnya, Sabah hanya menerima RM26.7 juta sepanjang tempoh 1974 hingga 2021 yang disifatkannya sebagai “tahun-tahun yang hilang”, sebelum bayaran meningkat kepada RM125.6 juta pada 2022, RM300 juta masing-masing pada 2023 dan 2024 serta RM600 juta pada 2025.
“Angka itu memang meningkat, tetapi masih tidak menghampiri jumlah sebenar 40 peratus yang menjadi hak Sabah,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu rayuan yang difailkan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober tahun lalu yang menetapkan tempoh 90 hari dan 180 hari untuk semakan serta pemuktamadan jumlah hak 40 peratus Sabah.
Katanya, tindakan rayuan itu menimbulkan persoalan kerana Perdana Menteri dan Kabinet sebelum ini memutuskan untuk tidak mencabar keputusan mahkamah berkenaan.
“Siapa yang memberi kuasa untuk rayuan itu dibuat? Jika Perdana Menteri tidak mengarahkannya, beliau perlu menyatakan perkara itu dengan jelas dan mengarahkan Peguam Negara menarik balik rayuan berkenaan.
“Jika sebaliknya, maka pengumuman RM1.5 bilion itu tidak membawa makna yang sebenar,” katanya.
Jeffrey berkata, rakyat Sabah mahu hak perlembagaan mereka dihormati melalui tindakan dan bukan sekadar kenyataan, selain tidak boleh menerima keadaan apabila pihak eksekutif dan Peguam Negara dilihat bergerak dalam arah berbeza mengenai isu hak asasi negeri itu.
Beliau turut mendakwa status Sabah sebagai negeri termiskin dan paling bergantung kepada bantuan kewangan Persekutuan adalah akibat kekurangan pembiayaan yang berterusan selama lebih 50 tahun.
Menurutnya, hasil daripada sumber seperti minyak, gas dan balak banyak disalurkan ke Putrajaya, manakala Sabah terus berdepan pelbagai kekurangan infrastruktur termasuk jalan raya, bekalan air dan elektrik.
“Rakyat Sabah sudah muak dengan pemberian gula-gula sedangkan hak perlembagaan mereka terus ditangguhkan.
“Pemimpin negeri yang terus mempertahankan keadaan ini atas alasan hubungan Persekutuan-negeri, serta mereka yang meraikan bayaran RM1.5 bilion seolah-olah keadilan sudah ditegakkan, perlu bertanggungjawab terhadap kehilangan yang dialami Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, STAR menggesa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mewujudkan mekanisme pengesanan hasil yang bebas dan telus bagi semua hasil yang diperoleh daripada Sabah, selaras dengan tempoh yang ditetapkan mahkamah.
Parti itu juga menuntut supaya pembayaran penuh hak 40 peratus dilaksanakan bermula tahun ini dengan jumlah tidak kurang daripada RM5 bilion bagi 2026.
Selain itu, Jeffrey berkata satu rangka kerja penyelesaian khusus bagi tunggakan hak Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021 perlu ditentukan tanpa sebarang penangguhan lagi.
“Jumlah RM26.7 juta yang dibayar sepanjang 48 tahun tanpa semakan mandatori seperti ditetapkan Perlembagaan sudah cukup menggambarkan keseluruhan isu ini,” katanya. – Info X