KOTA KINABALU: Gabungan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Demi Rakyat dan Negara (GDRN) menggerakkan pengagihan bantuan, termasuk bantuan tunai bernilai hampir RM1.5 juta kepada mangsa banjir di Sabah.
Badan itu yang dianggotai GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sejak 2013 turut menawarkan program bantuan kewangan bagi membantu komuniti yang terjejas.
Pengerusi Bersama Sekretariat GDRN, Siti Kamariah Ahmad Subki, berkata GDRN berfungsi sebagai sebuah rangkaian filantropi GLC dan GLIC bagi melengkapkan usaha kerajaan ketika bencana besar melanda.
Beliau yang juga Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional, berkata pembabitan mereka dalam krisis banjir Sabah adalah kesinambungan komitmen jangka panjang terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Ketika kita menyambut Hari Malaysia baru-baru ini, suatu peringatan penting adalah perpaduan kita diuji bukan sahaja dalam perayaan, tetapi dalam cara kita menjaga satu sama lain dalam masa kesukaran.
“Banjir di Sabah telah merubah kehidupan sekelip mata, keluarga kehilangan rumah, kanak-kanak tanpa bekalan sekolah dan warga emas terputus daripada keperluan asas.
“Pada saat ini, adalah menjadi tugas kolektif kita sebagai rakyat Malaysia untuk bertindak dengan empati dan mengembalikan maruah kepada mereka yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.
Hujan lebat berterusan bermula 9 September lalu mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh di beberapa daerah, antaranya Penampang, Membakut, Putatan, Beaufort, Papar dan Sipitang.
Bencana itu menyebabkan lebih 3,000 mangsa membabitkan lebih 960 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), dengan 13 kematian dilaporkan hilang akibat tanah runtuh dan dihanyutkan arus deras.
Selain itu, banyak laluan jalan raya, rumah dan pusat bantuan sementara dilaporkan rosak atau musnah, manakala puluhan kampung terputus akses, selain gangguan bekalan elektrik selepas tanah runtuh menyebabkan sebuah menara penghantaran elektrik tumbang di Penampang.

Sejak bencana itu melanda, 12 ahli GDRN melaksanakan pelbagai misi bantuan di Sabah, memanfaatkan operasi tempatan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan hubungan kerja dengan agensi kerajaan seperti Kementerian Kewangan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya, ahli GDRN seperti CIMB Foundation, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, Maybank, Permodalan Nasional Berhad (PMB), Pharmaniaga, Yayasan Hasanah, Yayasan PETRONAS (YP), Yayasan Sime Darby dan Yayasan TM telah menjanjikan atau mengagihkan barangan keperluan, termasuk kit kebersihan, pek makanan dan alatan pembersihan.
Sementara itu, Pengarah Yayasan TM yang juga Pengerusi Bersama Sekretariat GDRN, Ainol Shaharina Sahar, berkata badan itu sentiasa berdiri teguh bersama kerajaan dan agensi tempatan untuk membantu mereka yang terjejas akibat bencana.
“Dalam masa krisis, tiada satu bentuk bantuan pun yang mencukupi dengan sendirinya. Keluarga mungkin memerlukan bantuan segera hari ini, tetapi juga ruang bernafas dari segi kewangan untuk membina semula hari esok.
“Kekuatan GDRN terletak pada betapa bersatunya gabungan ini dan kami akan sentiasa berdiri teguh bersama kerajaan dan agensi tempatan untuk membantu komuniti yang terjejas akibat bencana,” katanya.
Menerusi inisiatif GDRN itu, YP bakal menyalurkan bantuan tanpa tunai kepada mangsa, manakala Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Kumpulan-Kumpulan Syarikatnya telah menyumbang kepada Tabung Kecemasan Bencana Alam ATM untuk warga Angkatan Tentera Malaysia yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di seluruh Sabah.
Dalam pada itu, institusi perbankan seperti Bank Islam, CIMB dan Maybank telah melancarkan langkah bantuan kewangan, termasuk moratorium ke atas pembayaran pinjaman dan pilihan pembiayaan bantuan bencana untuk PMKS.
Ends