KOTA KINABALU: Kerosakan jalan raya yang menjadi keluhan rakyat Sabah memerlukan kos besar hingga mencecah RM1.8 bilion untuk kerja pembaikan.
Jumlah itu didedahkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, ketika menggulung perbahasan Kementerian Kerja Raya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.
Beliau berkata peruntukan yang tinggi itu berikutan panjang jalan raya rosak teruk ialah 710 kilometer, manakala 126 kilometer lagi dikategorikan sangat kritikal, berdasarkan data diterima kementeriannya pada tahun lalu.
“Ini memakan belanja dianggar sekitar RM1.8 billion. Dengan caruman dan geran yang ada sebanyak hampir RM1 billion, kita mempunyai defisit dalam mengatasi atau melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan,” katanya.
Jelasnya, peruntukan pembaikan dan penyelenggaraan jalan raya disalurkan kerajaan persekutuan di Sabah hanya sebanyak RM625 juta, manakala RM350 juta caruman dari kerajaan negeri.
Peruntukan yang diperolehi pada tahun lalu itu katanya adalah untuk pembaikan dan penyelenggaraan jalan negeri, jalan luar bandar, naik taraf jalan SRT (Jenis Permukaan Jalan) 2 dan SRT 3 ke SRT 1, jalan Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah serta Jalan Pertanian. – Info X