SANDAKAN: Seramai 300 keluarga mangsa kebakaran Kampung Bahagia, di sini, bakal menerima sumbangan ihsan sebanyak RM1,500 daripada kerajaan Persekutuan.
Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sumbangan itu dilaksanakan Unit Penyelaras Pelaksana (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Sumbangan itu, katanya membabitkan peruntukan berjumlah RM450,000 dan akan disalurkan segera kepada keluarga yang dikenal pasti.
“Kita tahu ini bukan penyelesaian dan hanya langkah sementara dan saya mahu disampaikan segera. Saya tidak mahu tertangguh sebab keluarga itu harus mendapat jaminan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, di sini, pada Rabu.

Perdana Menteri diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Sakmud dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM300 untuk setiap murid sekolah yang terjejas dalam kebakaran itu.
Katanya, bantuan disalurkan Kementerian Pendidikan itu akan memberi manfaat kepada seramai 454 anak warganegara daripada 12 sekolah.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan juga bersetuju untuk memberi kelonggaran kepada pelajar dan murid yang terjejas tidak menggunakan pakaian seragam sekolah buat sementara waktu.
“Mulai esok, mereka harus pergi ke sekolah dan akan ada kelonggaran iaitu tidak perlu pakai uniform sekolah buat sementara waktu.
“Kalau perlu beberapa bantuan dari segi kenderaan untuk ke sekolah dan sebagainya, kita nanti pastikan supaya ada bantuan tambahan supaya anak-anak ke sekolah,” katanya.
Perdana Menteri turut meninjau lokasi bencana kebakaran di Kampung Bahagia yang sebelum ini menempatkab kira-kira 1,000 kediaman, sebelum musnah dijilat api pada Ahad lalu.
Bencana itu menyebabkan kira-kira 9,000 orang hilang tempat tinggal. – Info X