Search

RM22.75 juta dana untuk pemuliharaan biodiversiti di Sabah

March 9, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah menerima RM22.75 juta dana daripada Kerajaan Persekutuan di bawah inisiatif Ecological Fiscal Transfer (EFT) bagi menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar di negeri ini.

Dana itu yang kini berjumlah RM126.36 juta sejak 2019, disampaikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada kunjungan hormat di Menara Kinabalu, di sini, pada Isnin.

Hajiji menyifatkan pemberian dana itu sebagai petunjuk jelas pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap dasar pemuliharaan alam sekitar Kerajaan Negeri yang kukuh.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan sokongan berterusan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya pada pertemuaan itu.

Turut dibincangkan ialah pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan penyelarasan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara dengan perundangan Sabah bagi memastikan manfaat ekonomi karbon dapat dioptimumkan oleh Kerajaan Sabah.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian NRES, Datuk Nor Yahati Awang serta pegawai-pegawai kanan kementerian. – Info X