PAPAR: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM559.85 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) tahun ini bagi memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan, termasuk penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah serta pembangunan jelapang padi di beberapa daerah seperti Papar, Membakut, Beaufort dan Kuala Penyu.
Beliau berkata, sektor pertanian kekal sebagai antara tiga tonggak utama yang memacu pertumbuhan ekonomi negeri di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).
“Sesuai dengan semangat Pesta Kaamatan yang menghargai hasil tuaian, sektor pertanian terus menjadi fokus kerajaan dalam memastikan sekuriti makanan negeri kekal kukuh, khususnya dalam suasana ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Masyarakat Papar, di sini, hari
ini.
Hajiji turut menggalakkan rakyat Sabah untuk terus menyokong produk tempatan, khususnya hasil pertanian negeri ini sebagai langkah memperkukuh ekonomi domestik.
Pada masa sama, beliau menegaskan kemajuan yang dicapai tidak bermakna tanpa perpaduan dan kerjasama erat dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.
“Oleh itu, saya menyeru seluruh rakyat Sabah untuk terus berganding bahu bersama kerajaan dalam menjayakan setiap agenda, khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga komited meneruskan pelbagai inisiatif bantuan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, termasuk dalam aspek pendidikan, pembangunan modal insan dan kesejahteraan masyarakat.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata daerah Papar kini menunjukkan perkembangan pesat menerusi pelaksanaan beberapa projek pembangunan infrastruktur dan komersial, termasuk di Benoni dan Kinarut.
Katanya, apabila projek Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya, Papar berpotensi menjadi lokasi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak.
“Dengan adanya kemudahan seperti Borneo Cultural Village dan Sekolah Adat Anak Negeri Sabah, Papar mampu muncul sebagai daerah progresif dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata pemilihan Papar sebagai tuan rumah pelancaran Pesta Kaamatan tahun ini amat bertepatan memandangkan daerah itu terkenal sebagai antara kawasan jelapang padi utama di Sabah.
“Papar bukan sahaja kaya dengan hasil pertanian, malah memiliki nilai budaya dan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam suasana aman dan harmoni,” katanya.
Beliau berkata tema Kaamatan tahun ini, “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, mencerminkan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan generasi muda agar memahami, menghormati dan menerima kepelbagaian sebagai asas kepada keharmonian dan kekuatan perpaduan.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi pembinaan gelanggang futsal berbumbung lengkap dengan grandstand di daerah ini sebagai usaha meningkatkan kemudahan sukan untuk masyarakat setempat. – Info X