KOTA KINABALU: Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan Sabah 2026 bernilai RM6.402 bilion, berbanding anggaran hasil sebanyak RM6.430 bilion pada tahun depan.
Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata anggaran hasil yang lebih tinggi menjadikan belanjawan tahun depan sekali lagi merekodkan lebihan.
Berdasarkan unjuran hasil tahun depan, Belanjawan Sabah 2026 dianggar merekodkan lebihan berjumlah RM28 juta, berbanding lebihan RM24.08 juta dalam belanjawan tahun ini.
Masidi berkata, Belanjawan Sabah 2026 yang bertema ‘Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan’ sejajar dengan komitmen kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada 29 November lalu.
“Pilihan Raya Sabah baru saja selesai. Kerajaan yang baharu dibentuk akan melaksanakan amanah rakyat untuk tempoh lima tahun lagi.
“Dengan penuh iltizam dan hasrat mendalam untuk membawa perubahan dan pembangunan kepada kemajuan serta taraf hidup rakyat, Belanjawan Sabah 2026 akan menjadi tonggak untuk merealisasikan tema itu.
“Justeru itu, saya ingin mencadangkan satu Anggaran Perbelanjaan Perbekalan berjumlah RM6.402 bilion dengan Anggaran Hasil berjumlah RM6.430 bilion.
“Meskipun belanjawan ini mencatatkan sedikit penurunan berbanding tahun 2025, setelah mengambil kira anggaran hasil yang dapat dikutip, Belanjawan Sabah 2026 masih mencatatkan Belanjawan Lebihan sebanyak RM28 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Jumaat.
Masidi berkata, Kerajaan Sabah berhasrat untuk meningkatkan program dan aktiviti berorientasikan pembangunan bagi memangkin pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang, menyedia peluang pekerjaan dan menambah prasarana serta kemudahan fizikal bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.
Bagi merealisasikan hasrat itu, katanya program dan aktiviti di bawah Vot Perbelanjaan Perbekalan dan Vot Perbelanjaan Pembangunan diselaraskan mengikut jenis perbelanjaan masing-masing bermula tahun 2026.
“Oleh yang demikian, dengan mengambil kira pelarasan bagi Perbelanjaan Perbekalan dan Pembangunan berkenaan, maka Belanjawan Sabah 2026 disediakan mengikut perinciannya seperti dalam Buku Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Bagi Tahun 2026,” katanya.
Masidi berkata, Belanjawan 2026 menyaksikan Kementerian Kewangan Sabah menerima peruntukan terbesar dengan sebanyak RM2.899 bilion untuk perbekalan dan RM209.02 juta untuk pembangunan.
Katanya, Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah menerima peruntukan kedua tertinggi dengan RM1.122 bilion untuk perbekalan dan RM534.28 juta bagi tujuan pembangunan. – Info X