Search

RM600,000 bantu pekerja e-hailing buka akaun KWSP di Sabah

August 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM600,000 bagi membantu pekerja gig dalam sektor e-hailing untuk membuka akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sebanyak 11,109 permohonan diterima daripada pekerja e-hailing untuk membuat caruman KWSP.

“Saya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan memperuntukkan hampir RM600,000 bagi membantu mereka (pekerja e-hailing) yang masih belum membuka akaun KWSP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Sabah Moto Day 8.0 di Padang Kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS) dekat sini, pada Ahad.

Hajiji turut gembira melihat program Sabah Moto Day terus berkembang pesat, menarik kehadiran kira-kira 60,000 penunggang motosikal dan peminat permotoran dari seluruh Sabah, Sarawak dan Brunei pada tahun ini.

Kehadiran ramai penunggang serta pengunjung, katanya membuktikan bahawa aktiviti permotoran masih dekat di hati golongan belia dan masyarakat umum.

Hajiji bersama peserta Sabah Moto Day di UMS.

“Saya kagum melihat sokongan yang ditunjukkan oleh semua peserta, tanpa mengira usia, bangsa dan agama, yang berkumpul demi minat yang sama.

“Kita harus melihat himpunan ini dari sudut yang positif kerana ia boleh menyumbang, sedikit sebanyak, kepada penjanaan ekonomi negeri kita berikutan jumlah peserta dan pengunjung yang ramai sempena program ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peserta Sabah Moto Day agar mengutamakan keselamatan di jalan raya dan berharap himpunan itu dapat membantu meningkatkan lagi kesedaran keselamatan dalam kalangan peminat sukan permotoran dua roda.

Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri melihat belia sebagai aset, justeru pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk membangunkan modal insan.

Katanya, Kerajaan Negeri pada hari ini membelanjakan RM1.33 bilion termasuk RM848.26 juta bagi bantuan pendidikan dan RM485 juta khusus untuk program pembangunan bakat serta kemahiran dari 2021 hingga 2025.

“Perkara ini tidak pernah dilakukan oleh kerajaan negeri terdahulu. Kita komited membangunkan golongan belia yang menjadi pemimpin masa depan kita,” katanya.

Pada akhir ucapannya, Hajiji turut mengajak peserta himpunan menyedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir. – Info X