Search

RM9.5 JUTA DIPERUNTUKAN BAGI PELAKSANAAN KEGIATAN KEBUDAYAAN, SENI DAN BAHASA

May 31, 2022

admin

PENAMPANG: Sebanyak RM9.5 juta diperuntukan kerajaan negeri kepada Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS) bagi melaksanakan kegiatan kebudayaan, kesenian dan bahasa dalam Belanjawan 2022 Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, pihaknya juga menyediakan peruntukan RM400,000 untuk persatuan kebudayaan bagi tujuan sama di negeri ini.

“Usaha ini bagi memastikan kekayaan tradisi budaya dan kepelbagaian etnik merupakan ciri keunikan dan aset sektor pelancongan akan terus dipelihara untuk diwarisi generasi akan datang.

“Satu Pelan Pembangunan Kebudayaan Negeri Sabah akan digubal untuk memartabatkan khazanah warisan berharga Sabah ini ke peringkat yang lebih tinggi.

“Antara strategi yang akan digerakkan adalah program pendigitalan untuk memperkasa capaian data dan akses berhubung budaya, etnik dan warisan negeri melalui Pembangunan Cultural Mapping dan Pembangunan e-Heritage.

“Dalam pada itu, kerajaan negeri akan sentiasa berusaha memastikan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat direalisasikan dan dapat dinikmati oleh semua rakyat Sabah.

“Oleh itu, saya menggesa semua rakyat Negeri Sabah tanpa mengira latar belakang untuk sentiasa bersatu padu menyokong kerajaan dalam menjayakan setiap inisiatif SMJ demi pembangunan dan kemajuan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2022 di KDCA di sini, hari ini.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin telah mengisytiharkan Penutupan Pesta Kaamaatan Peringkat Negeri Sabah 2022.

Turut hadir isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah RM Jasni, isteri Ketua Menteri, Datin Juliah Salag dan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Peringkat Negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan,

Sementara itu, Hajiji turut melahirkan rasa gembira kerana berpeluang turun padang dan berjumpa dengan rakyat dalam perayaan Pesta Kaamatan, selepas hanya dapat diadakan secara maya sebelum ini akibat penularan pandemik Covid-19.

“Kemeriahan sambutan di seluruh negeri ini jelas membuktikan bahawa semangat perpaduan dalam kalangan rakyat khususnya di negeri ini sentiasa kukuh dan terpelihara.

“Saya percaya simbolik semangat perpaduan yang ditunjukkan dalam perayaan ini akan terus tersemat dan dijadikan contoh untuk memacu pembangunan serta kemajuan negeri ini.

“Perayaan ini sesungguhnya mampu menyatukan semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan budaya di negeri ini. Saya berharap perpaduan ini akan terus dipelihara dan dipertahankan oleh rakyat negeri ini pada setiap masa,” katanya. –Info X