SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya merampas 87,200 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM174,700 dalam operasi di Kampung Sinar Baru Batu 12, di sini, semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim, berkata operasi berkenaan dilaksanakan pada jam 11.04 pagi selepas pihaknya mengekori sebuah kenderaan yang disyaki membawa rokok seludup.
“Operasi ini dijalankan hasil maklumat awam dan pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit membawa sejumlah besar rokok pelbagai jenama tanpa cukai.
“Pemilik kenderaan bagaimanapun sempat melarikan diri, namun kenderaan bersama semua hasil rampasan berjaya dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nazri berkata, semua barang ranmpasan termasuk rokok berkenaan di bawa ke Markas Operasi PPM Sandakan dan kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan itu.
“PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa komited membanteras aktiviti penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara serta mengalu-alukan maklumat daripada komuniti untuk mengekang jenayah ini,” katanya. – Info X