TAWAU: Cubaan seorang lelaki warga asing menyeludup rokok tidak bercukai gagal apabila kegiatan itu berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah di Kampung Sungai Buaya, di sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 10.45 malam, sepasukan anggota Unit Risikan Marin PPM Tawau menemukan 66 kotak rokok pelbagai jenama yang disorok di dalam beberapa bungkusan plastik hitam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan aktiviti penyeludupan di lokasi berkenaan.
Katanya, seorang lelaki warga asing berjaya ditahan dan merampas sebuah kenderaan jenis Ford Ranger yang dipercayai digunakan untuk mengangkut rokok seludup berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana memiliki dan menyimpan barang larangan tanpa kelulusan pihak berkuasa.
“Suspek dan semua rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM63,240 itu dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kejayaan itu hasil maklumat risikan serta pemantauan berterusan anggota PPM yang sentiasa mengekang kegiatan penyeludupan di kawasan perairan dan daratan Tawau.
Mohd Nazri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited membanteras segala bentuk jenayah penyeludupan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.
“Orang ramai diminta supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kegiatan haram itu.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan aktiviti penyeludupan dapat ditumpaskan sepenuhnya,” katanya. – Info X