SANDAKAN: Kegiatan menyimpan dan memunggah rokok seludup di sebuah rumah di Kampung Sungai Kayu, Batu 7, di sini, terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan menyerbu lokasi berkenaan dalam operasi malam tadi.
Dalam operasi kira-kira jam 7.30 malam itu, pasukan PPM bertindak hasil maklumat orang awam yang memaklumkan mengenai aktiviti penyeludupan serta pemunggahan rokok tidak berkastam di kawasan berkenaan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, sepasukan anggota PPM Sandakan kemudian menjalankan pemantauan di sekitar rumah terbabit sebelum mengambil tindakan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemantauan yang dijalankan selama beberapa jam mendapati tiada sebarang aktiviti mencurigakan dikesan di kawasan itu.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan menemui beberapa bungkusan plastik berwarna hitam yang diletakkan di ruang rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas bungkusan terbabit mendapati ia mengandungi pelbagai jenis rokok yang disyaki tidak berkastam antaranya rokok putih jenama Era Ice Plus, Satos Black Menthol dan Satos Blue.
Beliau berkata, anggaran nilai keseluruhan rampasan rokok berkenaan dianggarkan kira-kira RM204,000.
“Semua barang rampasan kemudian dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan operasi berkenaan.
Katanya, orang ramai diminta terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara. – Info X