KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia menggesa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melakukan rombakan besar-besaran terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
Katanya, rombakan itu perlu untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan negeri berikutan celahan peguam kerajaan dalam rayuan kes semakan kehakiman isu 40 peratus di antara Peguam Negara dan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) di Mahkamah Rayuan, baru-baru ini.
Beliau mendakwa, Peguam Besar Negeri mengambil sikap tidak serius terhadap kes yang amat penting bagi rakyat Sabah itu kerana berada di luar negara dan tiada seorangpun pegawai dari Jabatan Peguam Besar Negeri yang hadir menemani Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad selaku peguam yang mewakili kerajaan negeri pada prosiding itu.
“Ia adalah tindakan yang saya sifatkan sebagai mengkhianati aspirasi rakyat Sabah yang rata-rata menganggap dan mengharapkan bahawa kerajaan negeri melalui peguamnya pada hari perbicaraan, bekerjasama melawan Peguam Negara yang mewakili kerajaan persekutuan. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Atas sebab sedemikian, dipandang dari sudut manapun, saya berpendirian bahawa kontroversi ini adalah diakibatkan oleh kelalaian pihak-pihak berwajib yang bersangkutan dengan kes ini khususnya Peguan Besar Negeri.
“Saya juga berpendirian bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Safar Untong wajar juga dipertanggungjawabkan selari dengan perwatakan yang selama ini beliau tonjolkan bahawa beliau adalah seorang SKN yang ‘hands-on’ di mana semua hal-hal pentadbiran kerajaan dimakluminya.
“Untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada pentadbiran kerajaan yang di ketuai oleh Ketua Menteri, YAB Datuk Seri Hajiji Noor, saya merayu kepada YAB Ketua Menteri untuk merombak secara besar-besaran pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah dari Jabatan Setiausaha Kerja Negeri sehingga ke Pejabat-Pejabat Daerah seluruh Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Pandikar Amin berkata terperanjat mendapat tahu bahawa Tengku Datuk Fuad mendapat pelantikan melalui surat dari Jabatan Peguam Negeri bertarikh 8 Jun 2022 sebagai peguam mewakili kerajaan negeri Sabah dalam kes Permohonan Semakan Kehakiman No BKI 25 – 14/6 – 2022 Sabah Law Society vs Kerajaan Persekutuan Malaysia.
Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, penjelasan Ketua Menteri kepada presiden-presiden parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada jam 10 pagi, 17 Mei lalu di Sri Gaya bahawa tiada lantikan Tengku Datuk Fuad dari kerajaan negeri amat memeranjatkan beliau selepas terbaca surat pelantikan peguam berkenaan.
“Apapun penjelasan Peguam Besar Sabah, Datuk Nor Aisah Mohd Yusof dalam kenyataan akhbarnya pada 20 Mei, yang kononnya pihaknya akan membetulkan sebarang ‘misguided statement’ (kenyataan yang tidak tepat) berkait dengan ‘blunder’ (kesilapan besar) yang dibuat oleh Tengku Datuk Fuad sewaktu perbicaraan kes pada 16 Mei 2024, di mana antara lain beliau menyerang SLS sebagai badan yang tiada ‘locus standi’ (tiada hak) dan sebagai penyibuk, adalah penjelasan yang wajar dibuang di tong sampah, memalukan diri sendiri sebagai Peguam Besar Negeri Sabah,” katanya. – Info X