Search

RoS batal pendaftaran Perikatan Nasional

October 20, 2026

Info X Reporters

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Parti Perikatan Nasional (PN) selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan parti itu gagal menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis terdahulu.

RoS dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan selepas meneliti keseluruhan dokumen serta penjelasan yang dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.

Menurut jabatan itu, alasan diberikan PN juga tidak mengemukakan justifikasi kukuh untuk membolehkan pendaftaran parti berkenaan dikekalkan.

“Sehubungan dengan itu, Pendaftar Pertubuhan telah membuat keputusan untuk membatalkan pendaftaran PN di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, RoS mengeluarkan notis bertarikh 22 September kepada PN di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 bagi memberi peluang kepada parti itu mengemukakan penjelasan dan representasi berhubung perkara yang dibangkitkan.

Susulan notis berkenaan, PN mengemukakan maklum balas pada 12 Oktober sebelum RoS membuat keputusan membatalkan pendaftaran gabungan itu.

RoS menegaskan setiap pertubuhan berdaftar bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta Pertubuhan 1966 serta perlembagaan pertubuhan masing-masing.

Jabatan itu turut memberi jaminan akan terus melaksanakan fungsi kawal selia dan penguatkuasaan secara tegas, adil serta berlandaskan undang-undang bagi memastikan tadbir urus pertubuhan yang teratur, telus dan berintegriti.

PN sebelum ini berdepan kemelut dalaman susulan aduan yang dikemukakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada RoS berhubung kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan.

RoS sebelum ini mengesahkan menerima aduan rasmi Bersatu pada 11 Ogos lalu, antaranya berkaitan dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai serta isu status keanggotaannya dalam gabungan berkenaan.-Info X