KOTA MARUDU: Dua rumah musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Batu 4, Jalan Sabit, di sini, pagi tadi termasuk sebuah rumah milik pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.
Dalam kejadian jam 8.20 pagi itu, semua penghuni sempat menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Bagaimanapun, rumah pertama berkeluasan 223 meter persegi dan rumah kedua 260 meter persegi hangus 100 peratus.
Salah sebuah rumah berkenaan milik Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Thaddeus Boinon yang bertugas di Bahagian Zon 3 Sabah, Kudat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Debli Mamoi berkata, sebuah jentera bersama 20 anggota digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan kaedah offensive dengan dua aliran dan empat pancutan sumber air dari tangki jentera.
“Kebakaran berjaya dikawal jam 9.17 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 10.30 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut berhubung punca kebakaran dan anggaran kerugian sedang dijalankan. – Info X