Search

Rumah hasil simpanan KWSP musnah ditimpa tanah runtuh

September 25, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: “Rumah itu hasil titik peluh saya, simpanan bertahun-tahun tapi kini semuanya musnah dalam sekelip mata,” luah Jaminah Kigut, 62, yang hanya mampu melihat rumahnya roboh ditelan tanah runtuh di Kampung Madsiang, Jalan Tambunan, di sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian yang berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak minggu lalu, rumah didiami wanita itu bersama keluarganya ranap sama sekali, sekali gus meranapkan impian yang dibina hasil wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas bersara.

Menurut Jaminah, rumah itu dibina sedikit demi sedikit dengan wang yang dikumpul bertahun-tahun lamanya, namun belum pun mencecah lapan tahun berdiri, ia sudah musnah dibadai bencana.

“Saya bukan ada pencen, hanya KWSP itulah yang saya gunakan untuk bina rumah. Baru rasa ada tempat berteduh sendiri, tapi sekarang sudah tiada apa-apa.

“Duit pun sudah tiada…mahu menyewa pun tidak tahu macam mana,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Gawir, semalam.

Jaminah (kiri) bersama Pengurus Besar Kupi-kupi FM, Lester Calvin Miol (tengah) dan Lastwin ketika ditemui di PPS Dewan Gawir, Madsiang, Penampang.

Walaupun bersyukur semua ahli keluarganya selamat, Jaminah mengakui setiap kali melihat sisa rumah yang sudah roboh, hatinya luluh mengingatkan usaha bertahun yang hilang dalam sekelip mata.

Anaknya, Lastwin John, 30, pula menceritakan detik cemas sewaktu tanah runtuh berlaku apabila mereka terpaksa keluar ikut tingkap selepas pintu rumah gagal dibuka.

“Selepas itu saya selalu pergi semula ke kawasan rumah untuk kumpul barang-barang yang masih boleh diselamatkan.

“Sedih bila tengok rumah sudah ranap, sebab saya tahu rumah tu hampir siap sepenuhnya. Tapi kejadian begini berlaku,” katanya.

Keadaan rumah didiami Lastwin dan keluarga yang rosak teruk akibat kejadian tanah runtuh di Kampung Madsiang, Jalan Tambunan, Penampang.

Menurut Lastwin, lebih menyayat hati apabila memikirkan ibunya kini tidak lagi mempunyai rumah untuk berteduh, sedangkan kediaman itu hasil titik peluh simpanan selama bertahun.

“Harapan kami, ada bantuan dari pihak atasan atau kerajaan untuk penginapan sementara, atau kalau boleh pembinaan semula rumah. Sebab sekarang ibu saya memang sudah tiada rumah,” katanya.

Jaminah dan keluarganya antara penerima bantuan yang disalurkan oleh KDCA Youth Council (Majlis Belia KDCA) dengan kerjasama KUPIKUPI FM, InfoX serta beberapa sukarelawan.

Bantuan berkenaan merangkumi bakul makanan, air mineral, pakaian, tuala, linen, lampin pakai buang dan susu bayi.

Sumbangan itu diperoleh hasil keprihatinan orang awam bersama Klagan Hotel, Hotel Grandis, Life Water Marketing Sdn Bhd, Caring Pharmacy serta beberapa pihak lain.

Sabah dibasahi hujan lebat luar biasa pada akhir minggu lalu menyebabkan banyak kawasan mudah dilanda banjir terjejas, malah lebih teruk ia turut disusuli tanah runtuh sehari sebelum sambutan Hari Malaysia, khususnya di Penampang, Kota Kinabalu dan Papar.

Turut dilanda banjir ialah daerah Beaufort, Membakut dan Putatan dengan lebih 2,000 mangsa dipindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), manakala 13 mangsa maut akibat tanah runtuh di Papar dan Penampang, diikuti seorang maut akibat dihanyut arus deras di Keningau. – Info X