Search

Rumah Mesra SMJ bertingkat dicadang di Putatan

March 20, 2025

Info X Reporters

PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya mencadangkan agar kerajaan negeri meluluskan pembinaan Rumah Mesra SMJ bertingkat antara 100 hingga 200 unit di Putatan.

Ahli Parlimen Putatan itu berkata, cadangan itu bagi mengatasi masalah tanah dihadapi pemohon yang layak bagi mendapatkan rumah yang diinisiatifkan kerajaan negeri itu.

Katanya, Rumah Mesra SMJ mendapat permohonan yang tinggi daripada golongan berpendapatan rendah di Putatan, namun ketiadaan tanah menyukarkan penduduk yang layak mendapatkan rumah berkenaan.

Hajiji menyampaikan sumbangan tunai kepada asnaf di Putatan.

“Sekarang konsep Rumah Mesra SMJ ini adalah rumah sebuah, jadi kawasan di bandar dan pinggir bandar seperti Tanjung aru, Putatan, Luyang yang mana kawasan tanah untuk dibuat rumah menjadi satu kekangan.

“Di Putatan ini pula, ramai pemohon di kawasan Tanjung Keramat dan Petagas tetapi mereka tiada kemampuan untuk menyediakan tanah sebagai tapak Rumah Mesra SMJ itu.

“Jadi, adalah elok sekiranya kerajaan dapat mengenal pasti sebidang tanah yang boleh dibangunkan untuk konsep Rumah Mesra SMJ secara bertingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Masjid Daerah Putatan, di sini pada Rabu.

Sempena majlis itu, Hajiji turut menyampaikan bantuan tunai kepada golongan asnaf dan menyempurnakan simbolik penyerahan kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat.

Hajiji hadir pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid Daerah Putatan.

Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, berkata sejak 2022 sebanyak 61 unit Rumah Mesra SMJ sudah siap dibina dan diserahkan kepada pemiliknya, manakala 40 unit lagi dibina pada tahun ini di kawasan Tanjung Keramat.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata kepadatan penduduk yang tinggi dengan populasi lebih 80,000 orang menjadikan Putatan antara kawasan kritikal memerlukan perumahan baharu bagi memenuhi keperluan penduduk.

Bagi tujuan itu, beliau berkata pihaknya melalui kerajaan negeri memohon pembinaan 1,000 unit projek Perumahan Rakyat Malaysia (PRM) di Lok Kawi

Katanya, perumahan sedia ada masih tidak mencukupi, terutama untuk memenuhi keperluan golongan yang berpendapatan rendah.

“Kabinet negeri sebelum ini sudah menyatakan sokongan terhadap permohonan kita kepada kerajaan persekutuan untuk pembinaan projek Perumahan Rakyat Malaysia atau PRM.

“Kerajaan negeri menyokong untuk mendapatkan 1,000 unit yang akan dibina di Lok Kawi,” katanya.

Mengenai isu air, Shahelmey berkata masalah kekurangan bekalan air di daerah ini dan selatan Kota Kinabalu dijangka dapat ditangani dengan lebih baik setelah projek Skim Bekalan Air Kecemasan (UWSS) Kasigui, Penampang siap pada Mei depan.

Projek itu katanya mampu membekal sehingga lima juta liter air sehari (JLS) sebagai tambahan pengeluaran air bersih sedia ada dari Loji Rawatan Air (LRA) Kasigui yang berkapasiti 54 JLS. – Info X