Search

Rumah Mesra SMJ untuk belia bukti kerajaan prihatin – Kelab Belia

October 5, 2025

Info X Reporters

KENINGAU: Kelab Belia Keningau menyambut baik pengumuman tambahan 10 kuota khas Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada golongan belia di seluruh negeri.

Pengerusinya, Syafiee Ludi, berkata langkah kerajaan negeri itu adalah inisiatif tepat dan sangat bermakna bagi membantu belia memiliki kediaman sendiri, khususnya mereka yang baru memulakan kehidupan berkeluarga atau bekerja.

“Usaha ini bukan saja memberi kelegaan kepada belia luar bandar, malah membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap cabaran kos sara hidup dan kemampuan memiliki rumah dalam kalangan generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Ahad.

Beliau mengulas pengumuman Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Pitas semalam mengenai tambahan 10 unit Rumah Mesra SMJ di setiap kawasan DUN kepada golongan belia yang baru mendirikan rumah tangga, mulai tahun depan.

Hajiji berkata, tambahan itu menjadikan sebanyak 50 unit Rumah Mesra SMJ akan dibina di setiap kawasan DUN mulai tahun depan berbanding sebanyak 40 unit pada tahun ini.

Syafiee berkata, kemudahan itu dapat mengurangkan beban golongan muda yang selama ini berdepan kesukaran memiliki rumah akibat kekangan kewangan dan harga pasaran yang tinggi.

“Dengan adanya kuota khas ini, lebih ramai belia di kawasan pedalaman termasuk di Keningau berpeluang menetap di rumah sendiri tanpa perlu menunggu terlalu lama,” katanya.

Syafiee berkata, Kelab Belia Keningau juga komited bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan golongan belia mendapat maklumat tepat dan peluang sama rata untuk memohon skim perumahan berkenaan.

“Kelab Belia akan berperanan sebagai penyampai maklumat dan penghubung agar tiada belia tercicir daripada peluang yang disediakan kerajaan,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji akan terus memberi perhatian kepada agenda pembangunan belia.

“Kami percaya, dengan sokongan berterusan daripada kerajaan negeri, kesejahteraan serta masa depan anak muda Sabah akan lebih terjamin dan stabil,” katanya. – Info X