Search

Rumah terbakar ketika ke majlis kahwin

December 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tujuh rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, hari ini ketika penghuni rumah terbabit tiada di rumah.

Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari itu, penghuni rumah terbabit dikatakan menghadiri majlis kenduri kahwin di Putatan.

Mohd Yunus Mohd Daud, 64, pemilik salah sebuah daripada tujuh rumah yang musnah itu berkata, ketika kejadian dia bersama keluarga menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya di Putatan.

“Tiada keluarga berada di rumah kerana pergi kenduri kahwin anak saudara. Saya hanya tahu rumah terbakar selepas dihubungi oleh salah seorang anak saya.

“Saya dan keluarga bergegas pulang dan ketika tiba di lokasi, rumah dan rumah saudara musnah terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.

Pasukan bomba bertungkus lumus memadam kebakaran rumah di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu.

Menurutnya, tiada apa yang dapat diselamatkan, semuanya musnah terbakar.

“Tiada apa yang dapat diselamatkan, hanya pakaian yang saya pakai sahaja yang tinggal. Begitu juga isteri, anak, anak menantu, cucu… semua harta benda musnah.

“Rumah yang dihuni sejak 1960 kini musnah dalam sekelip mata,” katanya yang bekerja sebagai nelayan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba I, Taquiddin Victor Doon berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada jam 1.33 tengah hari.

Pasukan bomba giat memadam kebakaran rumah di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu.

“Kebakaran membabitkan tujuh rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan empat aliran, enam pancutan dengan sumber air tangki dan air laut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dan operasi terkawal jam 4.35 petang.

“Operasi ditamatkan jam 5.49 petang dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

“Operasi pemadaman dijalankan seramai 33 pegawai dan anggota membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Putatan, Penampang dan Bomba Komuniti Tanjung Aru,” Katanya. – Info X