Search

Rumah terbuka Tahun Baharu Cina di SICC pada 17 Februari

February 6, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 17 Februari ini.

Menerusi satu kenyataan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin, berkata majlis itu diadakan di Dewan Kinabatangan Tingkat 2, SICC bermula jam 10 pagi hingga 2 petang.

“Majlis ini akan diserikan dengan keberangkatan tetamu kehormat, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memelihara keharmonian, perpaduan serta kepelbagaian budaya dalam kalangan masyarakat.

“Penganjuran majlis ini bukan saja menjadi simbol perpaduan rakyat berbilang kaum, malah turut berperanan sebagai platform strategik untuk memperkukuh pelancongan budaya negeri.

“Sambutan rumah terbuka seperti
ini memberi peluang kepada pelancong domestik dan antarabangsa untuk menyelami keunikan adat dan tradisi serta warisan budaya yang menjadi identiti Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Jafry menjemput seluruh rakyat negeri ini serta orang awam untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan majlis itu.

Katanya, selain orang awam, sekolah-sekolah, penjawat awam Persekutuan dan Negeri, wakil-wakil agensi Persekutuan di Sabah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan etnik serta persatuan Cina juga turut dijemput bagi memeriahkan sambutan itu dalam semangat kebersamaan dan muhibah.

“Pelbagai pengisian menarik telah disusun khas untuk orang ramai termasuk persembahan kebudayaan yang memukau seperti tarian singa, paluan mercun (firecrackers) serta upacara menggaul Yee Sang di samping sajian tradisional pelbagai kaum dan hidangan istimewa untuk orang awam yang disediakan oleh 15 buah hotel lima bintang terkemuka di Sabah.

“Sambutan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran dan persembahan artis-artis terkemuka dari Sabah serta peringkat antarabangsa selain pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang mesra keluarga bagi menjanjikan pengalaman yang meriah, penuh warna-warni dan tidak dapat dilupakan,” katanya.

Jafry berkata, beliau yakin penganjuran majlis itu akan menyumbang kepada pemulihan dan pertumbuhan sektor pelancongan negeri di samping merancakkan ekonomi setempat melalui penganjuran acara berimpak tinggi berasaskan kebudayaan.

“Marilah kita bersama-sama memeriahkan sambutan ini dalam suasana penuh keharmonian dan saling menghormati sambil mempromosikan keunikan serta kepelbagaian budaya Sabah kepada dunia.

“Gong Xi Fa Cai dan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina,” katanya. – Info X