PUTATAN: Sebuah rumah teres musnah 80 peratus, manakala empat kenderaan turut terbakar dalam kejadian di Taman Teluk Villa, di sini, awal pagi ini.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Kota Kinabalu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.25 pagi.
Katanya, seramai 25 anggota bersama enam jentera kemudian digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati rumah berkenaan terbakar 80 peratus, selain sebuah Honda HR-V turut mengalami kemusnahan pada kadar sama.

“Dua lagi kereta iaitu Toyota Vios dan Toyota Wish masing-masing terbakar 30 peratus, manakala motosikal Honda EX5 terbakar 10 peratus,” katanya.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.52 pagi dan kerja pemadaman bara api diteruskan bagi memastikan tiada kebakaran berulang.
Katanya, operasi turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkaitan. – Info X