KOTA KINABALU: Rundingan Tahunan Ke-13 Malaysia-Indonesia yang dihadiri pemimpin kedua-dua negara pada Selasa menghasilkan perkembangan yang positif.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menyifatkan mesyuarat yang turut dihadirinya di Jakarta itu membuahkan hasil yang baik untuk Sabah.
“Kita telahpun menyatakan pendirian kerajaan negeri dan perbincangan serta mesyuarat itu amat positif sekali.
“Sekarang, perkara-perkara berkaitan sedang diperhalusi dan ianya amat baik untuk negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Petco Trading Labuan Company LTD, di sini, pada Rabu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai rombongan Malaysia ke Rundingan Tahunan ke-13 Malaysia-Indonesia itu yang turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sementara itu, mengenai isu Ambalat, Hajiji berkata perkara itu belum dibincangkan secara rasmi kerana ia tertakluk kepada undang-undang antarabangsa.
“Itu belum lagi. Ia akan dibincang berdasarkan undang-undang antarabangsa. Jadi, belum ada apa-apa, jangan dijadikan ia isu politik di sini,” katanya.
Dalam perkongsian di Facebook beliau, Hajiji berkata Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia Ke-13 memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara dua negara serumpun itu.
Katanya, ia turut membuka ruang kerjasama strategik dalam bidang perdagangan bebas dan pembangunan tenaga serantau.
“Sabah menyambut baik usaha ini dan akan terus menyokong kerjasama serantau demi manfaat rakyat serta masa depan Borneo yang lebih progresif,” katanya.
Hajiji berkata, sepanjang lawatan kerja itu, beliau bersama Premier Sarawak dan beberapa Menteri Persekutuan turut bersama Perdana Menteri di Gedung Sekretariat ASEAN di Jakarta.
“Kehadiran ini mencerminkan iltizam dan komitmen bersama dalam memperkukuh semangat perpaduan, kestabilan dan kemakmuran rantau Asia Tenggara, selaras dengan semangat ASEAN yang luhur,” katanya. – Info X