KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Makanan 2026 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata bacaan kali kedua dan ketiga RUU bagi meminda Akta Makanan 1983 (Akta 281) itu juga akan dilakukan pada persidangan kali ini.
Menurut naskhah RUU tersebut yang dimuat naik di portal rasmi Parlimen, pindaan termasuk Seksyen 3 Akta 281 bagi membolehkan menteri memberikan kuasa kepada mana-mana pegawai awam untuk mendapatkan sampel bahan bersentuhan makanan yang boleh menjejaskan kepentingan am pengguna.
Fasal 4 pula bertujuan untuk meminda Seksyen 4 bagi memperluas kuasa pegawai diberi kuasa termasuk untuk melakukan penyiasatan terhadap makanan dan bahan bersentuhan makanan.
“Fasal ini juga bertujuan untuk menangani isu pengiklanan dan memberikan kuasa kepada pegawai diberi kuasa untuk mengarahkan kehadiran mana-mana orang yang mempunyai pengetahuan tentang fakta dan hal keadaan suatu kes,” menurut RUU itu.
Sementara itu, Fasal 9 bertujuan untuk memperkenalkan seksyen baharu 8a ke dalam Akta 281 untuk memberikan kuasa kepada pegawai diberi kuasa untuk diberi akses kepada apa-apa maklumat berekod, data berkomputer atau data berdigital untuk membuat siasatan secara menyeluruh selari dengan perkembangan transaksi yang dibuat dalam talian.
“Fasal 13 bertujuan untuk memperkenalkan seksyen baharu 11a ke dalam Akta 281 untuk memperuntukkan bagi penutupan premis yang digunakan untuk menyediakan atau menjual makanan yang mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan,” menurut naskhah itu.
Pindaan lain termasuk seksyen 15 dan 16 yang masing-masing memperuntukkan mengenai pelabelan yang tidak menepati standard makanan dan pelabelan palsu agar turut merangkumi bahan bersentuhan makanan.–BERNAMA