Search

RUU Makanan mesti hormati bidang kuasa Sabah, Sarawak – Jeffrey

October 8, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Rang Undang-Undang Makanan (Pindaan) 2026 perlu menghormati hak serta bidang kuasa Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan, berkata usaha memperkukuh keselamatan makanan perlu disertai penglibatan bermakna kerajaan negeri, sumber penguatkuasaan mencukupi serta jaminan terhadap pengusaha kecil.

Katanya, beliau menyokong prinsip RUU berkenaan bagi melindungi pengguna dan memperkukuh keselamatan makanan, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira keadaan serta keperluan khusus Sabah dan Sarawak.

“Usaha memperkukuh Akta Makanan 1983 adalah wajar bagi menangani perubahan dalam industri makanan, termasuk jualan dalam talian, pengiklanan digital dan penggunaan bahan yang bersentuhan dengan makanan.

“Namun, keberkesanannya bergantung kepada kemampuan penguatkuasaan di lapangan serta kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jeffrey berkata, Perkara 95B Perlembagaan Persekutuan memberikan kedudukan khas kepada Sabah dan Sarawak dalam pembahagian kuasa perundangan, termasuk berkaitan pencemaran atau pencampuran bahan makanan dan barangan lain.

Katanya, Butiran 11 Senarai IIIA, iaitu tambahan kepada Senarai Bersama bagi kedua-dua negeri, menyenaraikan perkara berkaitan “Adulteration of foodstuffs and other goods”.

“Peruntukan ini menjadi asas penting untuk memastikan pelaksanaan undang-undang dalam bidang berkenaan menghormati peranan kerajaan negeri.

“Keseragaman piawaian keselamatan makanan negara perlu disertai pendekatan pelaksanaan yang mengambil kira keadaan tempatan,” katanya.

Beliau berkata, kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang luas, jarak perjalanan serta kos logistik, selain keperluan perusahaan mikro dan kecil, memerlukan perhatian khusus dalam pelaksanaan undang-undang berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan mekanisme penguatkuasaan bersama antara kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak, termasuk pemberian kuasa secara sah kepada pegawai negeri yang mempunyai kepakaran bersesuaian.

Katanya, jawatankuasa penyelarasan membabitkan Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri juga perlu diwujudkan bagi mengelakkan pertindihan bidang kuasa serta mempercepatkan tindakan penguatkuasaan.

“Kerajaan negeri hendaklah diberikan ruang konsultasi yang bermakna dalam penggubalan peraturan, standard dan prosedur yang memberi kesan langsung kepada bidang kuasa serta pengusaha tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Jeffrey berkata kuasa penguatkuasaan perlu disertai proses yang adil dan mekanisme akauntabiliti, terutama membabitkan akses kepada data digital.

Katanya, kerajaan perlu memperjelaskan tujuan akses, pegawai yang dibenarkan, kaedah serta tempoh penyimpanan dan pelupusan data apabila tidak lagi diperlukan.

“Akses kepada kata laluan atau data yang disulitkan perlu mempunyai prosedur jelas, rekod audit dan perlindungan terhadap penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Beliau berkata, tindakan segera terhadap premis yang menimbulkan ancaman serius kepada kesihatan awam wajar disokong, namun tindakan penguatkuasaan perlu sepadan dengan tahap risiko dan kesalahan.

Bagi pelanggaran yang boleh diperbetulkan serta tidak menimbulkan ancaman segera, katanya, pengusaha perlu diberikan peluang pematuhan yang munasabah mengikut undang-undang.

“Mekanisme semakan atau rayuan yang cepat juga diperlukan kerana penutupan premis boleh menjejaskan mata pencarian penjaja dan keluarga mereka,” katanya.

Jeffrey turut menegaskan makanan tradisional Sabah dan Sarawak memerlukan pendekatan berasaskan bukti saintifik yang mengambil kira kaedah penghasilan tempatan.

Katanya, keselamatan pengguna tetap menjadi keutamaan, manakala pengusaha perlu dibantu menerusi latihan, bimbingan dan bantuan teknikal bagi memenuhi piawaian ditetapkan.

Beliau turut mencadangkan kapasiti makmal dan pengujian diperluaskan supaya lebih mudah dicapai, khususnya di kawasan pedalaman.

“Keningau wajar dipertimbangkan sebagai pusat sokongan pengujian dan pemantauan makanan bagi pedalaman Sabah, dengan pegawai, peralatan dan peruntukan operasi yang mencukupi,” katanya.

Selain itu, Jeffrey mencadangkan laporan berkala keselamatan makanan memaparkan data pemeriksaan, pengujian sampel, pelanggaran, tindakan penguatkuasaan dan tahap pematuhan secara berasingan bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Katanya, pelaporan sedemikian akan membantu Parlimen menilai keberkesanan pelaksanaan selain mengenal pasti jurang kemudahan serta sumber.

“Saya meminta Menteri Kesihatan memberikan jaminan khusus mengenai penglibatan kerajaan negeri, kuasa pegawai negeri, kapasiti makmal, perlindungan data digital dan hak semakan apabila premis ditutup.

“Sokongan saya terhadap prinsip RUU ini disertai tuntutan supaya pelaksanaannya menghormati Perlembagaan, melindungi pengguna dan menyediakan bantuan pematuhan yang munasabah kepada pengusaha,” katanya.

Jeffrey berkata, matlamat akhirnya adalah memastikan rakyat di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak, mendapat perlindungan keselamatan makanan yang berkesan dan adil.-Info X