Search

Sabah ambil alih 25 peratus pegangan dalam PETRONAS PFLNG 3

November 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah memformalisasi pengambilalihan 25 peratus ekuiti dalam PETRONAS PFLNG 3 Sdn Bhd, satu langkah memperkukuh lagi sinergi di antara syarikat petroleum nasional dan negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata proses itu selesai selepas kerajaan negeri, melalui SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy), menandatangani perjanjian muktamad dengan anak syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS LNG Sdn Bhd.

Katanya, pemeteraian perjanjian itu pada Jumaat bagi memformalisasi pengambilalihan 25 peratus kepentingan ekuiti dalam PETRONAS PFLNG 3 Sdn Bhd, yang juga dikenali sebagai ZLNG.

“Langkah itu bukan saja memperkukuh sinergi di antara PETRONAS dan Sabah, malah membuka potensi bagi kerjasama seumpama itu pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pemeteraian perjanjian muktamad itu adalah susulan pemeteraian Kepala Perjanjian bagi cadangan pengambilalihan itu yang disaksikan oleh Ketua Menteri dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik di Kuala Lumpur pada 17 Julai lalu.

Ketika ini, PETRONAS PFLNG 3 sedang membangunkan kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pesisir (FLNG) bernilai USD3.1 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Dijangka memulakan operasi pada separuh kedua tahun 2027, PFLNG 3 direka dengan kapasiti pengeluaran sebanyak dua juta tan setahun (2.0 MTPA).

Pelaburan strategik itu adalah tambahan terkini kepada portfolio pelaburan pelbagai sedia ada SMJ Energy yang mana syarikat itu kini memegang 50 peratus kepentingan penyertaan dalam Samarang Production Sharing Contract (PSC).

Syarikat milik kerajaan negeri itu turut memegang 10 peratus kepentingan ekuiti dalam PETRONAS LNG 9 Sdn Bhd, 25 peratus kepentingan ekuiti dalam PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (loji petrokimia SAMUR) dan pemilikan penuh Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) yang mengendalikan aset FPSO dan FSO.

SMJ Energy juga memegang hak ‘free carry dan back-in rights’ dalam blok penerokaan SB409 (20 peratus), SB403 (20 peratus), SB306A (15 peratus) dan SB306B (15 peratus). – Info X