Search

Sabah bangkitkan tuntutan tambah kerusi Parlimen

September 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah membangkitkan penambahan kerusi Parlimen bagi negeri ini pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kuching, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkara itu adalah antara yang dibincang pada mesyuarat yang berlangsung dalam suasana mesra dan membuka ruang untuk perbincangan lanjut mengenai isu dibangkitkan.

Beliau berkata, Sabah mahu lebih banyak kerusi Parlimen diwujudkan di negeri ini selaras semangat MA63 serta melindungi kepentingan negeri dan rakyatnya.

“Secara prinsipnya, Perdana Menteri bersetuju tetapi perkara ini perlu diperhalusi di peringkat teknikal kerana ia melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Sebab itulah hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan amat penting,” katanya selepas mesyuarat berkenaan di Kompleks Satria Pertiwi, di Kuching.

Ketika ini, Sabah hanya mempunyai 25 kerusi Parlimen.

Hajiji berkata, isu lain yang turut dibangkitkan ialah cadangan supaya sektor pelancongan disenaraikan dalam senarai bersama (concurrent list) dan ia juga akan dibawa ke jawatankuasa teknikal untuk perbincangan lanjut.

Delegasi Sabah terdiri daripada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Ir Shahelmey Yahya; Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Ariffin Arif.

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk James Ratib dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Sementara itu, Hajiji turut mengalu-alukan pelancaran projek Jalan Penghubung Sabah-Sarawak Fasa 2 (SSLR 2) bernilai RM7.6 bilion pada hari ini, yang menjadi satu langkah besar bagi memperkukuh hubungan antara dua negeri terbesar di Malaysia itu.

Beliau berkata, projek berkenaan bukan saja penting dalam meningkatkan hubungan tanpa sempadan antara Sabah dan Sarawak, malah mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi dalam perdagangan dan pelancongan.

Delegasi Sarawak pula diketuai oleh Premier, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg. – Info X