Search

Sabah beri tentangan sengit, akur NPC pertahan kejuaraan Sukan Muhibah Media

July 7, 2026

Info X Reporters

GEORGETOWN: Kontinjen media Sabah mempamerkan semangat juang tinggi sebelum akur dengan kekalahan tipis 2-3 kepada Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) pada Sukan Muhibah Media Sabah-NPC yang berlangsung di Pulau Pinang dari 3 hingga 5 Julai lalu.

Walaupun gagal membawa pulang trofi ke Sabah, kontinjen berkenaan berjaya memberikan saingan sengit kepada juara bertahan yang mengesahkan kejuaraan keseluruhan lebih awal selepas memenangi tiga daripada lima acara yang dipertandingkan.

Kejohanan edisi kedua itu mencipta sejarah apabila julung kali diadakan di Semenanjung Malaysia selepas edisi sulung berlangsung di Kota Kinabalu pada 2022, yang turut dimenangi NPC.

Sabah memulakan saingan dengan ketinggalan 0-2 apabila tewas dalam acara pool dengan keputusan 6-15 sebelum turut tunduk 2-10 dalam acara dart pada hari pertama pertandingan.

Bagaimanapun, kontinjen Sabah bangkit memperagakan aksi cemerlang pada hari kedua apabila mencatat kemenangan tipis 4-3 dalam acara badminton, sekali gus merapatkan kedudukan keseluruhan kepada 1-2.

Harapan Sabah untuk mengheret persaingan ke penentuan acara terakhir bagaimanapun tidak kesampaian apabila NPC menang tipis 22-20 dalam acara boling di Penang Bowl, sekali gus mengesahkan kemenangan keseluruhan 3-1 dan mempertahankan kejuaraan.

Sabah kemudian menutup kempen dengan bergaya apabila menewaskan NPC 4-2 dalam acara bola sepak, namun keputusan itu hanya mengurangkan jurang kekalahan kepada 2-3 tanpa mengubah kedudukan keseluruhan.

Kejohanan yang dihoskan oleh Kelab Akhbar Pulau Pinang (PPC) itu mempertandingkan lima acara iaitu pool, dart, badminton, boling dan bola sepak.

Majlis perasmian disempurnakan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai bersama Presiden NPC, Datuk Ahirudin Attan, Pengerusi Kelab Media dan Komunikasi Kota Kinabalu, Christopher Bernard Maskilone serta Presiden PPC, Ang Tong Kai.

Kejohanan diakhiri dengan majlis penutupan dan makan tengah hari di Hotel St Giles Wembley Penang pada Ahad yang turut diserikan dengan persembahan muzik oleh RS Murthi dan kumpulan Bluesoids.- Info X