KOTA KINABALU: Kontinjen Sabah menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 pingat emas menerusi 36 jenis sukan yang disertai pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 di Selangor yang dijadual bermula 15 Ogos ini.
Sasaran itu mengambil kira pencapaian kontinjen Sabah pada SUKMA Sarawak 2024 yang meraih 29 pingat emas, 36 pingat perak dan 55 pingat gangsa sebagai asas untuk meningkatkan prestasi pada temasya kali ini.
Mengulas sasaran itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan keyakinan terhadap kemampuan atlet negeri ini untuk mencapai sasaran yang ditetapkan berdasarkan persediaan rapi yang dibuat sehingga kini.
Katanya, sasaran itu bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan keyakinan kerajaan negeri terhadap persediaan atlet, kepakaran jurulatih, pengurusan pasukan dan sistem pembangunan sukan yang dilaksanakan secara berterusan.
“Saya mahu setiap atlet percaya bahawa sasaran ini mampu dicapai. Kita mempunyai bakat, pengalaman dan semangat yang diperlukan.
“Yang penting, kita turun bertanding dengan keberanian, fokus dan tekad untuk memberikan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Sabah sempena SUKMA Ke-22 Selangor 2026 dan Para SUKMA Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.

Bagi Para SUKMA Selangor 2026 pula, Sabah menyasarkan 66 pingat emas dan bertekad kembali muncul juara keseluruhan.
Kontinjen SUKMA Sabah kali ini membabitkan seramai 943 anggota yang terdiri daripada 744 atlet, 148 jurulatih, 51 pengurus pasukan dan mengambil bahagian dalam 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.
Bagi Para SUKMA, Kontinjen Sabah menghantar seramai 271 orang, terdiri daripada 154 atlet, 80 jurulatih dan pegawai serta 37 anggota urus setia.
Hajiji meletakkan harapan sekurang-kurangnya 80 peratus atlet Para SUKMA Sabah berjaya membawa pulang pingat pada temasya itu nanti.
“Saya menyeru semua atlet supaya berjuang sepenuh tenaga dengan semangat kesukanan yang tinggi bagi mengharumkan nama Sabah sepanjang temasya berlangsung,” katanya.
Beliau turut menekankan aspek disiplin sebagai kekuatan utama setiap atlet untuk berjaya hingga ke tahap tertinggi dan mengingatkan supaya setiap isu dalam kontinjen ditangani dengan segera, adil dan profesional bagi memastikan fokus pasukan tidak terganggu.
Hajiji juga menasihatkan atlet Sabah supaya tidak mengambil sebarang makanan tambahan tanpa nasihat jurulatih, pegawai perubatan atau pakar bertauliah bagi mengelak penggunaan bahan terlarang yang boleh menjejaskan kelayakan bertanding, membatalkan keputusan pertandingan serta merosakkan kerjaya yang dibina.
Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan meneruskan kadar insentif kemenangan yang dinaikkan pada SUKMA Sarawak 2024, termasuk insentif pingat emas yang dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000 sebagai tanda penghargaan kepada atlet negeri.- Info X