KOTA KINABALU: Sabah mengeksport 45.73 meter kubik papan lapis pertama patuh Peraturan Bebas Pemusnahan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) ke Poland pada akhir bulan lalu.
Menerusi satu kenyataan, Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Frederick Kugan, berkata produk kayu itu dikeluarkan kilang Integrated Wood Processing Sdn Bhd di Tawau.
Katanya, bahan mentah untuk menghasilkan papan lapis berkenaan diperolehi dari Sapulut Forest Development Sdn Bhd, iaitu pemegang Lesen Perjanjian Pengurusan Hutan Mapan (SFMLA).

Beliau berkata, lesen berkenaan, dikeluarkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan pemantauan Jabatan Perhutanan Sabah.
“EUDR diperkenalkan pada 2022 dan disasar mula dikuatkuasakan pada 30 Disember 2024 yang mana produk balak yang memasuki EU mesti bebas daripada penghapusan hutan selepas 31 Disember 2020.
“Ia memerlukan kebolehjejakan menyeluruh melalui data geolokasi dan kenyataan usaha wajar, memastikan produk mematuhi kriteria alam sekitar yang ketat.
“Penghantaran pertama ini mencerminkan kesediaan Sabah mematuhi piawaian alam sekitar antarabangsa yang ketat, meletakkan industri pembalakannya untuk kemasukan ke pasaran besar dan berdaya saing di Eropah,” katanya.

Beliau berkata, ia juga menggariskan kerjasama yang kukuh di antara Jabatan Perhutanan Sabah, pihak berkepentingan industri pembalakan tempatan dan rakan antarabangsa dalam mempromosi perhutanan mapan dan bertanggungjawab.
“Pencapaian ini adalah bukti komitmen Sabah terhadap pengurusan hutan mapan dan pendekatan proaktif kita untuk memenuhi permintaan pasaran global.
“Melalui pematuhan EUDR, kita bukan saja mengukuhkan kredibiliti produk balak Sabah tetapi juga menyumbang kepada usaha global dalam memerangi pemusnahan hutan dan perubahan iklim.
“Kejayaan kita menghantar produk pertama patuh EUDR ke Eropah di tengah-tengah perdebatan mengenai peraturan itu adalah satu gambaran dedikasi kita untuk memelihara sumber semula jadi dan memajukan sektor perhutanan Sabah,” katanya.
Katanya, mengeksport produk patuh EUDR berdepan cabaran yang signifikan memandangkan keseluruhan rantaian bekalan mesti melalui penilaian yang ketat, termasuk melaksanakan sistem pengesan dan kutipan data baharu.
Frederick berkata, Jabatan Perhutanan Sabah memainkan peranan penting dalam usaha itu, meningkatkan kapasitinya untuk menyediakan geolokasi dan data kebolehkesanan yang diperlukan oleh EUDR.

“Penambahbaikan ini memudahkan pemantauan yang lebih baik ke atas aktiviti hutan dan memastikan ketelusan dalam rantaian bekalan kayu, sejajar dengan piawaian alam sekitar antarabangsa.
“Asas kejayaan ini ialah dasar Lesen Perjanjian Pengurusan Hutan Mapan Sabah (SFMLA) yang dilaksanakan sejak 1997. Polisi ini mengimbangi pembangunan sosial, ekonomi dan alam sekitar yang memerlukan Amalan Pengurusan Hutan Asli (NFM) dan teknik Reduced Impact Logging (RIL) yang melindungi biodiversiti, mengurangkan hakisan tanah dan memelihara fungsi ekosistem.
“Amalan mapan ini sejajar dengan objektif EUDR dalam pencegahan penebangan hutan dan degradasi hutan secara global,” katanya.
Beliau berkata, bagi terus menunjukkan komitmennya terhadap kelestarian, Sabah juga membangunkan Sabah Timber Legality Assurance System (Sabah TLAS), satu sistem audit pihak ketiga yang diberi mandat untuk memastikan pematuhan undang-undang dan ketelusan di keseluruhan rantaian bekalan kayu balak.
Katanya, TLAS Sabah, yang diperkenalkan pada 2009 menjadi alat penting dalam penubuhan prosedur usaha wajar yang diperlukan oleh EUDR. – Info X