Search

Sabah Electricity terima subsidi RM161.7 juta dari Kerajaan Persekutuan

December 27, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah Electricity menerima RM161.7 juta dari kerajaan Persekutuan bagi menampung Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) untuk tahun ini.

Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Seri Madius Tangau, berkata bayaran subsidi itu diterima pada 23 Disember lalu.

“Jumlah itu adalah bayaran bagi menggantikan semula wang yang dibelanjakan Sabah Electricity bagi menampung kos ICPT.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana prihatin mendengar keperluan dan permohonan kita sekali gus membolehkan Sabah Electricity dapat terus beroperasi membekalkan tenaga elektrik di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Pada November lalu, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran pada persidangan Dewan Rakyat membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan Sabah bergelap pada sambutan Krismas dan menjelang Tahun Baharu 2025 jika kerajaan Pusat tidak memberikan subsidi itu.

ICPT adalah caj yang dikenakan kepada pengguna berdasarkan penggunaan bulanan elektrik dalam unit kilowatt perjam (kWj) yang didarab dengan kadar ICPT (sen/kWj).

Bagaimanapun, pengguna Sabah Electricity di negeri ini dan Labuan tidak perlu membayar caj berkenaan kerana ditampung menerusi subsidi kerajaan.

Sementara itu, Madius juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah yang turut memperuntukkan subsidi ICPT sebanyak RM50.9 juta kepada Sabah Electricity.

“Seperti yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 20 Disember lalu, pengecualian surcaj ICPT dipersetujui untuk diteruskan bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 30 Jun 2025.

“Bagi tujuan ini, Kerajaan Sabah memperuntukkan 50.9 juta untuk membantu meringankan beban pengguna.

“Selaku Pengerusi Sabah Electricity saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Sabah atas keprihatinan dan pemberian subsidi ini,” katanya. – Info X