Search

Sabah FA berdepan kelab dari Guam, India dan Bangladesh dalam aksi AFC

August 16, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pasukan bola sepak wanita Sabah FA bakal berdepan tiga pasukan terbaik Asia dalam aksi preliminary Juara-Juara Liga Wanita AFC (AWCL) 2026/2027 yang dijadual berlangsung di Stadium Likas, di sini, bermula Isnin (17 Ogos).

Wakil Malaysia itu bakal berdepan Rovers FC dari Guam dalam aksi pertama mereka esok, disusuli Rajshahi Stars FC dari Bangladesh pada Khamis dan pasukan mewakili India, East Bengal FC pada Ahad depan.

Ketua Jurulatih Sabah FA, Bobby Gonzales, mengakui cabaran pasukan bimbingannya bukan mudah, namun tetap yakin dengan kemampuan dan semangat pemain Sabah FA untuk bermain dengan baik.

Beliau berkata, persiapan awal sudah dibuat untuk mengukuhkan kekuatan pasukan termasuk pengambilan enam pemain import dan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan wanita sebelum ini.

“Sudah semestinya ada banyak tekanan sebab kita tahu pasukan yang datang ke sini dari Bangladesh (Rajshahi Stars FC), West Bengal (India) dan juga Guam (Rovers FC). Kita kira pasukan yang terbaik di Asia ini.

“Cuma sekarang ini kita kena tahu kekuatan dan kelemahan mereka,” katanya pada sidang media kejohanan itu yang dihadiri semua ketua jurulatih dan kapten pasukan bertanding, di sini, pada Ahad.

Katanya, persediaan pasukan Sabah FA juga berjalan dengan baik dan lancar meskipun berdepan kekurangan pemain berikutan 11 orang pemain pasukan itu terbabit dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor.

Atas sebab itu juga, katanya Sabah FA memanfaatkan sepenuhnya enam kuota pemain import untuk kejohanan AFC kali ini, berbanding hanya empat pemain import untuk liga wanita nasional.

Beliau turut mengharapkan sokongan penyokong bola sepak Sabah untuk turun menyaksikan perlawanan bertaraf antarabangsa itu yang kali kedua diadakan di Stadium Likas selepas kali pertama pada 2024.

“Kita harap mereka dapat datang dan sokong pasukan kita. Bukan selalu kita dapat main di tempat sendiri macam ini, ia kira satu rezeki sebab kita dapat ‘home’ untuk kali kedua.

“Kemungkinan selepas ini kita tidak akan dapat lagi, jadi kita berharap kepada semua peminat di luar sana, datang dan sokong pasukan wanita Sabah,” katanya.

Sementara itu, kapten Sabah FA, Steffi Sarge Kaur, berkata selaku pemain, beliau dan rakan sepasukan sudah bersedia dari segi mental dan fizikal, selain teruja dapat bermain semula di gelanggang AFC.

“Kami harap dapat memberikan yang terbaik dan menumpukan perlawanan demi perlawanan. Yang penting perlawanan pertama dulu, lepas itu kami akan fikirkan langkah seterusnya,” katanya.

Beliau turut menyifatkan semua pasukan yang bertanding kali ini sama kuat dan sukar untuk menentukan siapa yang paling digeruni sebelum sepak mula berlangsung. – Info X