Search

Sabah FC bangkit, kejayaan Piala Cabaran MFL 2026 suntik semangat baharu

April 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bekas pengurus pasukan bola sepak Sabah, Ronald Cooke, memuji kejayaan Sabah FC menjulang Piala Cabaran MFL 2026, sambil menyifatkannya sebagai kemenangan bersejarah yang amat dinanti-nantikan selepas sekian lama pasukan itu berdepan prestasi tidak menentu.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan Sabah memiliki keupayaan untuk kembali sebagai pasukan yang digeruni, sekali gus mampu mengangkat semula maruah bola sepak negeri.

“Kemenangan ini menunjukkan Sabah mempunyai segala yang diperlukan untuk berjaya. Ia juga mampu meningkatkan moral pasukan bagi meneruskan rentak kemenangan dan membanggakan rakyat Sabah,” katanya.

Mengulas lanjut, Cooke berkata, kejayaan itu membawa makna lebih besar kepada pembangunan bola sepak Sabah, terutama selepas pasukan itu melalui tempoh sukar termasuk masalah kewangan, pertukaran pemain serta prestasi yang tidak konsisten.

Menurutnya, kejayaan menjulang trofi berkenaan perlu dijadikan asas kukuh untuk memperkukuh struktur pengurusan pasukan, pembangunan bakat muda serta penglibatan penyokong.

Dalam pada itu, beliau turut memuji kepimpinan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan dan pembantunya, Datuk Fairuz Renddan yang disifatkan proaktif serta komited dalam memajukan arena sukan negeri sejak mengambil alih portfolio berkenaan.

“Sejak hari pertama, mereka menunjukkan penglibatan secara langsung dalam pembangunan sukan Sabah. Saya yakin di bawah kepimpinannya, masa depan sukan negeri akan lebih cerah,” katanya.

Cooke turut menggesa semua persatuan sukan di Sabah agar bekerjasama rapat dengan kementerian bagi memastikan setiap cabang sukan dapat berkembang ke tahap lebih tinggi demi kepentingan negeri dan negara.

Katanya, kejayaan Sabah FC itu bukan sahaja menjadi titik perubahan kepada pasukan, malah simbol ketahanan dan kebangkitan semula sukan Sabah secara keseluruhan. – Info X