Search

Sabah FC berminat sertai lagi Kejohanan Antarabangsa RCTI Premium Sport di Jakarta

June 3, 2024

Info X Reporters

JAKARTA: Sabah FC berharap berpeluang beraksi lagi pada Kejohanan Antarabangsa RCTI Premium Sports Indonesia pada edisi akan datang.

Pengurus Sabah FC, Rafie Robert berkata kejohanan itu adalah pengiktirafan besar kepada Sabah FC yang dilihat mampu menguji dan meningkatkan mutu bola sepak serantau.

Katanya, melalui edisi itu secara tidak langsung Sabah FC semakin dikenali di rantau Asia Tenggara dan menjadikan kejohanan berkenaan sebagai tumpuan peminat bola sepak di rantau ini.

“Sabah FC mengiktiraf jemputan RCTI ini, kita bersedia datang lagi menyertai kejohanan ini sekiranya mendapat jemputan untuk menyertainya pada edisi akan datang.

“Selain menawarkan hadiah wang tunai yang cukup lumayan, kejohanan ini akan sentiasa dinanti-nantikan berdasarkan garisan panduan yang ditetapkan untuk menyertai pertandingan ini.

“Tapi, apa yang penting adalah peluang untuk mengukur prestasi setiap pasukan serta kualiti pertandingan dapat dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan media selepas berakhirnya kejohanan itu.

Rafie berkata, setakat ini Sabah FC dan Selangor FC adalah antara pasukan pertama dari Malaysia yang dijemput menyertai kejohanan itu yang berakhir semalam.

Antara aksi pemain Sabah FC ketika menewaskan PSIS Semarang 2-1 pada Kejohanan Antarabangsa RCTI Premium Sports di Jakarta.

“Jemputan ini adalah satu penghargaan kepada Sabah FC selepas pencapaian terbaik pasukan layak ke saingan Piala AFC dan berada di tempat ketiga selama dua tahun berturut-turut dalam Liga Super,” katanya.

Kejohanan berlangsung di Jakarta Internasional Stadium (JIS) itu turut disertai pasukan Persija Jakarta, PSIS Semarang dan Selangor FC.

Sabah FC berjaya merangkul tempat ketiga kejohanan dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah USD10,000 setelah menewaskan cabaran PSIS Semarang dengan keputusan 2-1.

Selangor FC pula muncul juara selepas menewaskan Persija Jakarta dengan keputusan 1-0 dan membawa pulang hadiah wang tunai USD30,000 berserta Piala Rajawali dan medal manakala Persija Jakarta menerima USD15,000 di tempat kedua dan PSIS Semarang menerima hadiah USD5,000di tempat keempat. – Info X