Search

Sabah FC terima tajaan RM4 juta dari Emas Sri Semantan

July 29, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC menerima tajaan RM4 juta dari sebuah syarikat perniagaan barangan kemas bagi menyokong operasi pasukan menghadapi Liga MFL bagi musim baharu 2026/2027.

Tajaan Syarikat Emas Sri Semantan Sdn Bhd itu hasil kerjasama yang dimeterai menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) ditandatangani kedua-duanya, di sini, pada Rabu.

Pengarah Sabah FC, Datuk Alijus Sipil, berkata MoU itu adalah sebahagian perancangan Sabah FC untuk memperluas rangkaian rakan strategik dan mengisi slot penajaan bagi menghadapi musim 2026/2027.

Katanya, tajaan kewangan dari syarikat itu digunakan bagi menyokong keperluan operasi Sabah FC sepanjang musim, selain membantu usaha kelab menambah baik fasiliti berkaitan pemulihan dan peningkatan prestasi pemain.

Beliau berkata, pembabitan sektor swasta amat penting dalam memastikan sesebuah kelab bola sepak dapat berkembang secara mampan, terutama dalam persekitaran bola sepak moden yang memerlukan sokongan kewangan dan kerjasama komersial yang kukuh.

“Kehadiran Emas Sri Semantan sebagai rakagi strategik memberi nilai tambah kepada Sabah FC, bukan sahaja daripada aspek kewangan tetapi juga dalam usaha memperluas jangkauan dan imej pasukan.

“Seperti kelab-kelab lain di negara ini dan di peringkat antarabangsa, sokongan sektor swasta sama ada dalam bentuk penajaan, sumbangan atau kerjasama strategik amat penting untuk kelangsungan sesebuah kelab.

“Bagi Sabah FC, kerjasama ini akan membantu keperluan operasi pasukan bagi musim 2026/2027, selain menyokong perancangan jangka panjang termasuk penambahbaikan fasiliti untuk pemulihan pemain dan peningkatan prestasi,” katanya pada majlis mendatangani MoU di antara Sabah FC dan Emas Sri Semantan, di sini, hari ini.

Hadir sama Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Awang Kadin Tang; Pengerusi Emas Sri Semantan, Hafizal Mahmood dan Pengurus Sabah FC, Mohd Arziz Afizy Rumsani.

Alijus berkata, sokongan diterima Sabah FC dijadikan sandaran untuk menambah baik prestasi pasukan sepanjang musim baharu nanti setelah kedudukannya dalam carta liga jatuh pada musim lalu.

“Apa yang ingin kita capai pada tahun ini, itu nanti kita akan perkemaskan dari semasa ke semasa, tapi yang sememangnya, kita akan cuba yang lebih baik daripada pencapaian kita pada tahun lalu.

“Pada tahun lalu (musim 2025/2026), walaupun kedudukan kita di liga MFL agak ke bawah sedikit, tapi kita mencapai dua kejayaan yang sudah lama kita tidak capai.

“Yang pertamanya, kita berjaya masuk ke pusingan akhir Piala FA, di mana kita tewas kepada JDT) dan yang kedua, kita menjuarai Piala Cabaran. Itu antara kejayaan manis bagi Sabah FC pada musim lalu,” katanya.

Sementara itu, Hafizal berkata, keputusan Emas Sri Semantan menjalin kerjasama dengan Sabah FC didorong kedudukan bola sepak yang cukup dekat dengan masyarakat Sabah serta sokongan kuat rakyat negeri ini terhadap pasukan mereka.

Katanya, Emas Sri Semantan ketika ini mempunyai tiga cawangan di Sabah, masing-masing di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau serta merancang membuka sebuah lagi cawangan di Tawau sebagai sebahagian daripada pengembangan operasinya.

“Bola sepak mempunyai pengaruh yang besar dan dekat di hati rakyat Sabah. Kami melihat kerjasama dengan Sabah FC sebagai satu platform yang baik untuk Emas Sri Semantan mendekati masyarakat dengan lebih luas, di samping memperkukuh kehadiran jenama kami di negeri ini.

“Kami juga melihat kesungguhan pengurusan Sabah FC dalam membina pasukan yang kompetitif dan meningkatkan prestasi pasukan. Ini memberikan keyakinan kepada kami untuk bersama-sama Sabah FC sebagai rakan strategik,” katanya.

Katanya, kerjasama kedua-dua pihak juga tidak terhad kepada penajaan pasukan utama, sebaliknya Emas Sri Semantan merancang untuk bekerjasama dengan Sabah FC dalam beberapa inisiatif pembangunan bola sepak dan komuniti.

Antara yang dirancang katanya ialah siri jelajah bersama pemain Sabah FC ke beberapa daerah, Klinik Bola Sepak bagi membantu mencungkil bakat baharu tempatan dan penajaan pertandingan Liga Daerah.

Hafizal berkata, syarikat itu turut melihat potensi untuk meneruskan kerjasama dengan Sabah FC dalam jangka masa lebih panjang, sejajar rancangan Emas Sri Semantan memperluaskan operasi di seluruh Sabah termasuk pembukaan cawangan baharu dan perancangan mewujudkan kilang pemprosesan emas di negeri ini.

“Kami melihat Sabah sebagai pasaran yang penting dan perniagaan kami akan terus berkembang di negeri ini. Justeru, kami memerlukan pendekatan pemasaran yang berterusan dan melihat bola sepak sebagai antara platform strategik untuk membina hubungan dengan masyarakat Sabah

“Sudah tentu kami terbuka untuk melihat kerjasama ini berkembang lebih jauh bersama Sabah FC pada masa hadapan,” katanya. – Info X