KOTA KINABALU: Prinsip ‘Sabah First’ terus menjadi teras kepada setiap dasar dan keputusan Kerajaan Negeri bagi memastikan kepentingan rakyat Sabah sentiasa diutamakan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang menekankan perkara itu, berkata ia juga untuk memastikan hasil negeri diurus dengan bertanggungjawab dan peluang ekonomi diperluas secara adil kepada seluruh masyarakat.
“Oleh itu menjadi harapan saya untuk kita semua rakyat Sabah, tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama untuk bersama-sama menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” katanya dalam ucapan pada acara Kongsi Raya Muhibbah Yee Sang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.
Ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata, tahun 2026 menandakan lembaran baharu buat negeri Sabah untuk terus melangkah ke hadapan iaitu fasa baharu pembangunan setelah berakhirnya Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-17 (PRN17) pada November lalu.
“Jika Pelan Pembangunan SMJ 1.0 adalah fasa pemulihan, penyusunan semula dan penstabilan, maka Pelan Pembangunan SMJ 2.0 adalah fasa lonjakan yakni lonjakan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri,” katanya.
Jelasnya, kejayaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 memberikan keyakinan bahawa negeri ini berada pada landasan yang tepat.
Justeru, katanya Pelan Pembangunan SMJ 2.0 adalah lanjutan yang menuntut perubahan berterusan dalam meningkatkan keupayaan diri, merangkumi perubahan cara berfikir, bekerja dan mencipta nilai baharu untuk rakyat.
“Hala Tuju ini juga sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 yang dilaksanakan bermula tahun ini sehingga 2030.
“Kerajaan Negeri kekal komited melaksanakan agenda Sabah Maju Jaya 2.0 sebagai kerangka pembangunan menyeluruh yang menekankan perpaduan rakyat, kestabilan politik dan pembangunan yang inklusif serta mampan,” katanya.
Mengenai acara Kongsi Raya Muhibbah Yee Sang, Hajiji berkata ianya bukan sekadar gabungan perayaan tetapi manifestasi nilai saling menghormati, kebersamaan dan kasih sayang yang telah lama menjadi amalan hidup rakyat Sabah.
“Keharmonian inilah yang menjadikan Sabah sebuah negeri yang aman, stabil dan dicontohi, di mana rakyat pelbagai etnik dan kepercayaan hidup bersama dalam suasana saling memahami,” katanya.
Mengenai cubaan untuk memecahkan rekod ASEAN Yee Sang terpanjang iaitu sepanjang 1,500 meter, beliau berkata ia bukan sekadar pencapaian dari sudut angka atau ukuran fizikal tetapi membawa makna yang jauh lebih besar kepada rakyat dan negeri Sabah.
“Ia adalah simbol penyatuan rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan kepercayaan, disatukan dalam satu niat dan tujuan yang sama, iaitu untuk membina dan memajukan negeri Sabah yang kita cintai bersama.
“Semoga acara ini dapat memupuk semangat kerjasama serta saling membantu yang melibatkan semua pihak, sama ada kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, usahawan serta orang awam, dalam menjayakan satu usaha yang bersejarah di peringkat ASEAN.
“Berteraskan semangat saling menghormati dan kepercayaan, hubungan ini menjadikan ASEAN rakan strategik penting untuk negeri Sabah dalam pelancongan, perdagangan dan pelaburan,” katanya. – Info X