KOTA KINABALU: Sabah kehilangan seorang pemimpin luar biasa berikutan kematian pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, hari ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia berdasarkan sumbangan besar mendiang kepada komuniti, negeri dan negara sepanjang hayatnya.
Beliau turut mengimbau kenangan ketika pernah bekerja bersama mendiang sebagai pembantu menteri dalam kerajaan negeri di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), kira-kira 30 tahun lalu.
“Saya ingin menyampaikan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mendiang Tan Sri Joseph Kurup.
“Mengimbau ketika saya bekerja bersama mendiang sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian pada 1994, saya diingatkan dengan kepemimpinnya yang luar biasa dan sumbangannya kepada komuniti, negeri dan negara kita.
“Legasi Tan Sri Joseph Kurup adalah satu dedikasi dan perkhidmatan, ia satu kehilangan yang besar kepada kita,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Mendiang dilaporkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, malam ini dan disahkan kakitangan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Kurup yang juga anak mendiang. – Info X