Search

Sabah lulus enakmen bangunkan tenaga haba lautan

April 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Enakmen Penukaran Tenaga Haba Lautan (OTEC) 2024 dan Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan No 2) 2024.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kelulusan rang undang-undang (RUU) akan memberi laluan kepada pembangunan OTEC sebagai sumber tenaga boleh baharu dan salah satu inisiatif utama di bawah Ekonomi Biru.

“Enakmen ini akan membolehkan Sabah melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) mengawal aktiviti penerokaan, pembinaan, dan operasi fasiliti OTEC.

“Teknologi OTEC menggunakan perbezaan suhu antara air permukaan yang panas dan air laut dalam yang sejuk untuk menghasilkan tenaga elektrik secara mesra alam,” katanya.

Beliau berkata Sabah mempunyai sumber laut yang luas dan ciri-ciri yang sesuai, menjadikannya wilayah utama untuk meneroka OTEC.

Katanya, kajian menunjukkan bahawa kawasan tertentu di Sabah berpotensi menghasilkan sehingga 20,000 Megawatt (MW) kuasa elektrik yang boleh digunakan untuk menghasilkan hidrogen hijau.

“Ini adalah suatu sumber tenaga yang mendapat permintaan tinggi untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar.

“Industri ini akan mencipta pekerjaan dan menarik pelaburan asing ke Sabah,” katanya.

Selain itu, Ketua Menteri berkata produk sekunder seperti produk marikultur dan air minuman akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar tempatan.

“Sebagai perintis untuk pembangunan OTEC di rantau ASEAN, kita juga dapat menarik golongan profesional terlatih dan menggalakkan inovasi untuk memacu pembangunan di negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir Abdul Nasser Bin Abdul Wahid, berkata pembangunan teknologi baharu itu selaras dengan pelan induk Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040 (SE-RAMP 2040) yang dilancarkan pada September lalu.

Pelan itu untuk meningkatkan campuran tenaga boleh baharu dan mengenal pasti sumber tenaga dan teknologi baharu bagi keperluan jangka masa panjang.

“ECoS, sebagai badan kawal selia bagi sektor tenaga mengalu-alukan cadangan bagi menjalankan penerokaan dan kajian kebolehlaksanaan demi memperolehi pembangunan yang terbaik bagi negeri Sabah,” katanya. – Info X