TAWAU: Sabah merekodkan jumlah masjid terbanyak di negara ini dengan 1,127 masjid, selain 1,221 surau di seluruh negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata mengikut rekod, di Tawau sahaja terdapat 133 masjid dan 103 surau, berada di tempat kedua selepas Semporna yang mempunyai 246 masjid dan surau.
Katanya, walaupun Islam adalah agama rasmi negara ini, namun rakyat bukan Islam bebas mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.
“Bukan bererti kalau kita mempunyai bilangan masjid yang banyak untuk beribadah, ia sesuatu yang boleh merenggangkan keharmonian dan perpaduan di antara kaum dan juga kepercayaan di Sabah amnya dan negara kita khasnya.
“Kita mesti menjadi umat Islam yang berdisiplin, mempunyai moral yang cintakan keadilan, perpaduan dan kemajuan. Ini mesti diterapkan pada diri umat Islam, supaya imej agama Islam berada di tempat yang sewajarnya.
“Jangan kita jadikan agama ini sebagai sesuatu yang boleh merosakkan hubungan ataupun tanggapan yang negatif daripada kaum lain yang bukan beragama Islam,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Ar-Rahman Bandar Sri Indah, di sini, pada Ahad.
Katanya, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta sebagai permulaan untuk pembinaan masjid itu bagi menampung kemudahan yang tidak mencukupi di kawasan yang mempunyai kira-kira 10,000 penduduk itu.
Beliau berharap Masjid Ar-Rahman, Bandar Sri Indah, Tawau yang bakal dibina itu akan menjadi masjid paling aktif dan berdaya saing sejajar dengan masjid sedia ada di daerah ini, khususnya dari segi aktiviti keagamaan, kemasyarakatan dan perekonomian.

“Saya berharap kerja-kerja pembinaan dapat segera dimulakan bagi memastikan masjid baharu ini siap dibina sebagaimana yang dirancang dalam waktu yang telah ditetapkan,” katanya.
Hajiji berkata, masjid adalah rumah ibadat umat Islam yang mulia dengan fungsi dan peranannya dalam kehidupan umat Islam sangat penting dan berkait rapat dengan perihal keimanan dan ketaqwaan terhadap Allah SWT, pencipta seluruh alam.
Jelasnya, pembinaan sesebuah masjid atau surau dalam agama Islam adalah sangat dituntut, lebih-lebih lagi di kawasan yang mempunyai penduduk yang beragama Islam.
Beliau berkata, dalam konteks Malaysia, masjid adalah sebuah institusi yang menjadi nadi kepada aktiviti masyarakat Islam, sama ada di dalam sesebuah kampung atau pekan dan bandar.
“Ia tidak lagi dilihat sebagai rumah ibadah semata-mata, tetapi juga sebagai pusat kemasyarakatan, keilmuan, termasuk pelbagai aktiviti sosial yang berkaitan dengan kemajuan dan pembangunan ummah.
“Misalnya, penyediaan ruang untuk program-program kelas mengaji Al-Quran, kelas Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah, malah ada juga yang menyediakan ruang untuk majlis kenduri kendara dan sebagainya.
“Justeru masjid kini menjadi pusat serbaguna ke arah kemajuan dan pembangunan ummah, sesuai dengan keperluan dan perkembangan semasa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dan keluarganya kerana bermurah hati mewakafkan tanah seluas lima ekar untuk tapak Masjid Ar-Rahman Bandar Sri Indah Tawau.
Turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild @ Hamid Awang dan ADUN Kukusan, Rina Jainal. – Info X