Search

Sabah negeri pertama melabur pasang sistem VAR di Stadium Likas

May 12, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah menjadi negeri pertama melabur untuk pemasangan sistem Video Pembantu Pengadil (VAR) bagi meningkatkan mutu pengadilan bola sepak di negeri ini.

Sistem Goal Sport VAR itu dipasang di Stadium Likas selepas Sabah FC layak ke saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada tahun lalu.

Berikutan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam, berkata sistem berkenaan akan terus digunakan dalam saingan Liga Super musim ini.

Katanya, selain Goal Sport VAR System, satu lagi sistem VAR yang digunakan ialah Sistem Keterlihatan Dipertingkat (EVS), menjadikan dua sistem VAR digunakan untuk Liga Malaysia kali ini.

Bagaimanapun, beliau berkata Goal Sport VAR System di Stadium Likas dijangka hanya dapat dilaksanakan selepas Jun depan setelah pengadil diberi latihan.

Bagi perlawanan Sabah FC menentang Pulau Pinang FC di Stadium Likas, yang petang ini, katanya MFL menggunakan Sistem EVS yang dibawa dari Semenanjung.

“Sistem (VAR) yang digunakan hari ini adalah sistem yang dibawa dari Semenanjung iaitu EVS yang digunakan oleh MFL ketika ini.

“GOAL System dalam stadium mungkin digunakan dalam perlawanan hadapan selepas bulan Jun, sebab kita perlu adakan latihan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MFL dan Lembaga Sukan Sabah, di sini, hari ini.

Ramalingam berkata, di Semenanjung, pihak MFL menggunakan empat trak mudah alih untuk membawa kelengkapan Sistem EVS ke stadium yang menjadi venue Liga Malaysia musim ini.

Bagi Sabah dan Sarawak, katanya MFL membawa unit sistem itu dari Semenanjung yang dipasang secara kekal di Stadium Likas dan di Kuching untuk digunakan apabila ada perlawanan Liga Malaysia.

“Kita bernasib baik sebenarnya atas pelaburan yang dibuat oleh kerajaan Sabah dalam pembelian dan juga penyiapan sistem VAR di peringkat tempatan.

“Kami berharap perkara ini dilihat secara positif disebabkan dalam kelayakan Sabah ke kejohanan Piala AFC yang lalu menunjukkan banyak penambahbaikan di peringkat tempatan dari segi fasiliti dalam stadium, ruang penonton dan juga skrin gergasi.

“Dengan adanya sistem VAR di Stadium Likas, ia adalah dua sistem berbeza yang digunakan dalam Liga Malaysia kalau kita dapat kelulusan sistem VAR yang sedia ada,” katanya. – Info X