KOTA KINABALU: Sabah perlu berani menuntut haknya, terutama hasil minyak dan gas serta sumber alam lain yang ditemui di negeri ini sejajar usaha mendapatkan dana mencukupi bagi menyelesaikan isu infrastruktur asas di negeri ini.
Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, berkata perkara itu sangat penting kerana ia membabitkan hal kewangan yang diperlukan untuk membiayai projek pembangunan, terutama infrastruktur asas.
“Yang lebih penting, Sabah perlu berani menuntut haknya dalam hasil minyak, gas dan sumber alam lain. Tanpa kuasa kewangan yang mencukupi, usaha untuk memperkukuh infrastruktur dan pendidikan akan terus terbantut,” katanya menerusi satu perkongsian mengenai Masa Depan Sabah, di Facebook beliau.
Beliau bagaimanapun berkata, masa depan Sabah tidak akan ditentukan oleh jumlah sumber yang dimiliki semata-mata, sebaliknya tertakluk kepada kemampuan negeri mengurus dan menyusun keutamaan.
“Jalan raya yang sempurna, air yang bersih, elektrik yang stabil, internet yang pantas dan sekolah yang selesa adalah asas kemajuan. Akhirnya, sebelum Sabah mengejar impian besar seperti menjadi hab pelancongan dunia, pusat industri moden atau pemain utama ekonomi digital, kita mesti terlebih dahulu menyelesaikan masalah yang paling asas.
“Negeri ini tidak akan pernah benar-benar maju jika rakyatnya masih ketinggalan dalam hal-hal keperluan harian. Impian besar itu hanya akan menjadi nyata apabila tapak asasnya kukuh.
“Maka, membina jalan yang sempurna, memastikan air bersih mengalir ke setiap rumah, menjamin elektrik dan internet yang stabil serta menyediakan sekolah yang selamat dan selesa bukan lagi pilihan, ia adalah kewajipan. Hanya dengan menyelesaikan infrastruktur asas inilah Sabah akan benar-benar bersedia melangkah menuju impian besar yang selama ini didambakan,” katanya.
Beliau berkata, masa depan Sabah hanya akan berubah jika kepimpinan negeri berani meletakkan keutamaan kepada perkara yang benar-benar penting.
“Jalan, air, elektrik, Internet, dan sekolah perlu dijadikan asas sebelum memikirkan projek mega yang hanya indah pada kertas cadangan. Pembangunan mesti dilakukan dengan telus, dengan audit terbuka dan bebas daripada amalan kronisme.
“Komuniti setempat juga wajar dilibatkan dalam merancang dan melaksanakan projek-projek berskala kecil seperti sistem air graviti, hidroelektrik mini atau tenaga solar yang terbukti lebih cepat dan berkesan,” katanya.
Terdahulu, Aliakbar berkata Sabah adalah negeri yang kaya dengan hasil bumi dan kepelbagaian budaya, namun ironinya ia masih bergelut dengan masalah yang paling asas.
Katanya, walaupun sering dijanjikan pembangunan, realiti di lapangan masih menunjukkan bahawa ramai rakyat Sabah hidup dengan infrastruktur yang serba daif dan ketinggalan.
Jelsnya, jalan raya yang berlubang, bekalan air yang tidak menentu, elektrik yang sering terputus, capaian internet yang lemah dan sekolah yang serba kekurangan mencerminkan bahawa Sabah masih jauh daripada arus pembangunan yang sepatutnya.
“Jalan raya misalnya, adalah nadi utama perhubungan. Di sesetengah kawasan pedalaman, jalan balak masih menjadi laluan utama dan ketika musim hujan, hubungan ke dunia luar boleh terputus sepenuhnya.
“Projek besar seperti Lebuhraya Pan Borneo sepatutnya menjadi simbol perubahan tetapi kelewatan demi kelewatan terus mengikat Sabah dalam belenggu kekurangan. Pan Borneo yang dijanjikan sebagai jalan harapan kini bertukar menjadi jalan penantian.
“Begitu juga dengan bekalan air. Masalah ini bukan lagi isu baharu, ia berlarutan bertahun-tahun hingga ada keluarga terpaksa berharap kepada air hujan atau air sungai sebagai sumber minuman harian. Ironinya, negeri yang kaya dengan empangan dan sumber semula jadi masih gagal memberi air bersih secara konsisten kepada rakyatnya,” katanya.
Alaikbar berkata, masalah elektrik juga tidak kurang serius, malah gangguan bekalan yang berulang bukan saja menyulitkan kehidupan seharian, bahkan menjejaskan keyakinan pelabur.
Bukan setakat itu, beliau mendakwa sda sekolah dan kampung yang masih bergantung kepada penjana (generator), seolah-olah Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia yang sedang dicanang sebagai negara menuju ekonomi digital.
Lebih parah, katanya jurang pendidikan di Sabah jelas kelihatan, dengan banyak sekolah di pedalaman masih berdindingkan kayu reput, berlantaikan papan yang bocor dan ada juga tanpa kemudahan elektrik dan air paip.
“Guru dan murid terpaksa mengharungi perjalanan panjang meredah sungai dan hutan hanya untuk hadir ke kelas. Dalam keadaan tertentu, sekolah-sekolah ini berfungsi sekadar untuk ‘mengisi ruang’ tetapi gagal memberi pengalaman pendidikan yang selesa dan bermutu.
“Bagaimana mungkin generasi baharu Sabah mampu bersaing pada peringkat global jika asas pendidikan mereka sendiri begitu daif?
“Dalam dunia moden, internet adalah ‘jalan raya baharu’, namun di Sabah, capaian internet yang perlahan dan tidak stabil terus menghalang anak muda untuk menjejaki peluang digital. Ramai pelajar perlu memanjat bukit atau berjalan berkilometer untuk mencari liputan Internet bagi menyiapkan tugasan.
“Sementara di Semenanjung, pelajar sudah berbicara tentang kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital, anak-anak di pedalaman Sabah masih bergelut untuk mendapatkan sambungan Internet asas,” katanya.
Beliau menjelaskan, situasi itu berlaku berikutan kelemahan perancangan pembangunan yang tidak menyeluruh, birokrasi yang melambatkan pelaksanaan projek, ketirisan dalam pengurusan kewangan serta ketidakstabilan politik yang sering menukar arah dasar.
Katanya, sewajarnya dasar yang baik mesti dikekalkan dan ditambah baik jika ada kekurangan, bukan dihapuskan mengikut selera peribadi pemimpin.
“Sabah juga masih terlalu bergantung kepada kerajaan Pusat, sedangkan hasil bumi negeri ini cukup besar untuk membiayai keperluan rakyat jika diurus secara telus dan adil,” katanya. – Info X