Search

Sabah perlu tingkatkan pengeluaran padi – Masiung

May 9, 2023

admin



TONGOD: Kerajaan perlu berusaha meningkatkan pengeluaran tanaman padi di negeri ini supaya dapat mengurangkan kebergantungan terhadap beras import pada masa hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, Sabah perlu menjadi salah satu negeri pengeluar tanaman padi terbesar di negara ini.

Ketika ini, katanya, Sabah hanya mencapai pengeluaran beras sebanyak 25 peratus sahaja, hasil daripada tanaman penduduk secara bermusim.

“Harus diingat Sabah banyak bergantung dengan beras import daripada luar negara termasuklah Thailand, Vietnam dan Kemboja.

“Kita akan dapat kesannya sekiranya secara tiba-tiba negara berkenaan menghentikan bekalan makanan asas itu disebabkan berlakunya faktor fenomena secara global,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Zon Tongod di Mini Dewan Kampung Talibu, di sini, semalam.

Masiung berkata, rakyat Sabah perlu mencontohi masyarakat zaman dahulu yang menjadikan tanaman padi sebagai aktiviti harian mereka.

“Aktiviti menanam padi ini dilihat mampu menjana ekonomi keluarga, sekali gus dapat membentuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pesta Kaamatan yang diraikan di negeri ini adalah amalan tradisi kaum Kadazandusun dan Murut sempena pesta menuai padi.

“Dapat dilihat bahawa masyarakat Sabah sudah sebati dengan sektor tanaman padi sejak daripada zaman dahulu lagi.

“Justeru, sudah tiba masanya Pesta Kaamatan ini perlu diberi nafas baharu dengan ikrar untuk meningkatkan hasil tanaman padi secara bersepadu,” katanya.

Masiung berkata, kerajaan negeri diminta supaya merangka garis panduan bagi menjenamakan semula industri padi sempena sambutan Pesta Kaamatan kali ini.

“Jika tiada usaha tersebut, kita sekadar hanya berbangga dengan sambutan Pesta Kaamatan dan melengkapkan kalender pelancongan sahaja.

“Saya berharap supaya dalam keseronokan kita menyambut Pesta Kaamatan, perlunya juga ada usaha pembaharuan industri padi di negeri ini,” katanya.

Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Tongod, Cleophas John Gordon dan Pegawai Pemimpin Masyarakat, Tokyo @ Hashim Omar. – Info X